PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dijangka membentangkan prosedur operasi standard (SOP) terbaharu mengenai pembukaan semula sekolah secara bersemuka tidak lama lagi.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu dibincangkan dalam satu mesyuarat bersama antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan KPM yang dipengerusikan beliau dan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin.
“Dalam mesyuarat yang turut disertai Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah serta pengurusan tertinggi KKM memberikan input-input berdasarkan kepakaran mereka.
“Kerjasama di antara kementerian-kementerian (whole of government approach) dan usaha sama dengan masyarakat (whole of society approach) dalam waktu pandemik sebegini amat penting untuk digembleng bagi menghasilkan ketetapan SOP yang selamat buat semua khasnya buat anak-anak kita,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Baru-baru ini, Mohd. Radzi mengesahkan sesi persekolahan secara bersemuka akan tetap dilaksanakan pada 3 Oktober ini.
Bagaimanapun, sesi berkenaan tidak akan melibatkan negeri-negeri yang masih berada di dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN). -UTUSAN ONLINE










