Segerakan biasiswa doktor pakar - Utusan Malaysia

Segerakan biasiswa doktor pakar

DOKTOR kontrak berdepan laluan lebih berliku jika berhasrat menjadi doktor pakar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu menyegerakan dan menambah biasiswa persekutuan kepada doktor-doktor untuk mengikuti pengajian menjadi pakar.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, kerajaan juga perlu menetapkan sasaran jumlah doktor pakar bagi tempoh tertentu untuk mengisi keperluan negara.

“Malah doktor juga boleh me­lanjutkan pengajian sambil be­kerja. Itu kurang membebankan. Cuma ia mungkin ada masalah jika melibatkan doktor kontrak.

“Walau apa pun, ia tetap bergantung kepada doktor terbabit. Kerajaan tidak boleh paksa kerana ia bergantung kepada kehendak sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, negara dijangka berdepan krisis doktor pakar menjelang 2030 kerana jumlah yang ada sama ada di hospital awam atau swasta tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat.

Sehubungan itu, Khairy berharap Kementerian Kewangan dapat memberikan komitmen agar lebih banyak doktor kontrak berpeluang melanjutkan pengajian demi memenuhi ke­perluan berkenaan.

Bagi Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar pula, kekurangan peruntukan kewangan dilihat sebagai punca utama kepada masalah itu.

“Dari dulu lagi isu ini timbul. Kekangan bajet mengurangkan peluang melatih pakar. Kuota tempat boleh tambah akan tetapi kerajaan memerlukan biasiswa kerajaan.

“Justeru, pendekatan seren­tak perlu dilaksanakan iaitu tambah tempat dan biasiswa dalam dan luar negara,” ujarnya.

Sementara itu, jurucakap Hartal Doktor Kontrak Dr Mustapha Kamal A. Aziz berkata, selain isu slot untuk melanjutkan pengajian doktor pakar di universiti awam sangat kompetitif, jumlah tenaga pengajar juga tidak ramai.

Katanya, laluan lebih berliku bagi doktor kontrak kerana mereka mereka perlu habiskan tempoh sebagai pegawai hospital (HO) dan ada pengalaman beberapa tahun sebagai pegawai perubatan (MO) untuk layak memohon melanjutkan pengajian sebagai pakar.

Pegawai perubatan kontrak, Dr. Muhammad Yassin berkata, separuh doktor pakar di Malaysia berada dalam sektor swasta walaupun lebih 80 peratus rak­yat menggunakan perkhidmatan perubatan sektor awam.

“Isu ni akan menjadi lagi serius di masa hadapan kerana doktor kontrak tidak dapat menyambung pengajian menjadi pakar. Sebab tu penting untuk kerajaan segera menyelesaikan masalah ini dengan membenarkan doktor kontrak boleh me­nyambung pengajian,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN