PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak lagi mempunyai sebarang kuasa dalam pengurusan biasiswa untuk membolehkan doktor menyambung pengajian ke peringkat pakar.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman (gambar) ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, segala urusan tersebut diturunkan kepada Kementerian Kesihatan.
Beliau mengulas beberapa badan perubatan di negara ini yang menyarankan kerajaan supaya menyegerakan biasiswa persekutuan untuk menaja ramai bakal doktor pakar.
Ia susulan pendedahan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu lalu mengenai krisis kekurangan serius doktor pakar di negara ini.
Ketika ini doktor pakar yang ada berkhidmat sama ada dalam sektor awam dan swasta adalah kira-kira 13,000 orang berbanding bilangan sepatutnya ialah 28,000 orang di seluruh negara.
Mengulas lanjut, Mohd. Khairul Adib berkata, Kementerian Kesihatan mempunyai kuasa dari segi perancangan, latihan dan pemberian biasiswa untuk membiayai pengajian calon tersebut.
“Sehubungan itu, saya ingin memaklumkan memang langsung tiada penglibatan JPA dalam hal ini kerana ‘kuasa autonomi’ sudah pun diserahkan kepada Kementerian Kesihatan,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan pernah memberi mereka peluang menerima ‘Hadiah Latihan Persekutuan’ bagi meneruskan pengajian pakar sama ada institusi pendidikan di dalam atau luar negara.
Mereka yang gagal ditaja, masih lagi boleh menyambung pengajian dengan peruntukan kewangan diri sendiri atau cuba memohon mendapatkan pinjaman pendidikan daripada pihak ketiga.
Bagaimanapun, ada doktor pakar itu yang enggan pulang ke tanah air selepas pengajian dan menetap terus di negara terbabit dengan kebanyakan di Singapura, Australia dan Britain.
Ketika ini, terdapat 23,000 doktor berstatus kontrak yang berkhidmat di fasiliti kementerian itu dengan peruntukan perbelanjaan gaji mereka pada tahun ini dianggarkan RM1.9 bilion.
Malaysia pada masa ini cuma mempunyai sejumlah 71,041 doktor kesihatan dengan nisbah pegawai perubatan itu berbanding populasi ialah 454 orang bagi setiap doktor. – UTUSAN










