MoU diteliti semula selepas 31 Julai 2022 - Utusan Malaysia

MoU diteliti semula selepas 31 Julai 2022

ISMAIL Sabri Yaakob bersama Anwar Ibrahim pada majlis menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan Pembangkang di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, kelmarin. Turut hadir Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim. – IHSAN JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) akan meneliti semula memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan kerajaan selepas 31 Julai 2022 jika kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob gagal melaksanakan transformasi dirancang antara kedua-dua pihak.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil berkata, tiada isu pembangkang bersekongkol dengan kerajaan, sebaliknya PH kekal akan terus menjalankan kerja-kerja semak dan imbang segala program kerajaan.

“Ringkasnya terus lawan. Cuma, dalam isu urus masalah Covid-19, kita ada jangkaan yang realistik. Setidak-tidaknya kalau nak laksana PRU-15, tunggulah selesai masalah Covid-19 dulu.

“Dalam MoU ada banyak klausa dan garis masa yang menjelaskan sekiranya mereka gagal melaksana maka akan diteliti semula persefahaman ini. Ia bergantung pada banyak perkara dan keadaan,” katanya yang juga Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai ketika dihubungi semalam.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, meskipun perjanjian telah termeterai, namun mempunyai perjalanan yang masih panjang mungkin sukar dilakukan.

“Kena realistik bahawa itu bukan mudah,” katanya ringkas.

Guan Eng berkata, DAP mengakui tindakan menandatangani perjanjian dengan kerajaan bukan langkah yang ideal, khususnya apabila berurusan dengan pihak lawan yang tidak mempunyai sejarah dalam menunjukkan komitmen terhadap transformasi politik.

Dalam hal itu, Guan Eng menegaskan, jika terdapat perkara yang tidak dilaksanakan kerajaan, Jawatankuasa Pemandu berhak untuk meneliti bagi membatalkan perjanjian tersebut.

“Kalau ada pelanggaran syarat maka boleh tarik diri daripada MOU,” ujarnya lagi.

Terdahulu, dokumen MoU mengandungi 10 muka surat dengan memperincikan butiran kesefahaman merangkumi enam aspek yang dimeterai antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pemimpin PH itu diterbitkan oleh Pejabat Parlimen Malaysia semalam.

Menerusi dokumen berkenaan, disebut PH akan mengambil pendirian menyokong atau berkecuali bagi undi Belanjawan 2022 dan undang-undang perbekalan atau kewangan berkaitan dengannya selepas proses penggubalan rang undang-undang (RUU) itu dirundingkan dan dipersetujui secara bersama pada dasarnya.

Malah pakatan pembangkang itu juga mengambil pendirian sama dalam proses meluluskan sebarang usul kerajaan atau RUU lain yang kegagalan meluluskannya merupakan satu bentuk ketidakpercayaan atau tidak keyakinan kepada kerajaan selepas proses penggubalan itu dirunding dan dipersetujui bersama.

Sebagai pertukaran kerajaan akan mengusahakan sejumlah pembaharuan dan dasar yang sebelum ini dibawa PH seperti reformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan.

Selain itu, MoU berkenaan hendaklah berkuatkuasa dari tarikh perjanjian dimeterai dan terpakai sehingga pembubaran Parlimen Malaysia yang ke-14 manakala kedua-dua bersetuju bahawa kegagalan menunaikan kesefahaman tersebut merupakan satu pelanggaran dan boleh mengakibatkan penamatan perjanjian.

Dalam pada itu, dokumen berkenaan juga memperincikan setiap satu daripada enam aspek utama MoU iaitu Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia MA63 dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu dengan pelaksanaannya ada perlu dilaksanakan tahun ini dan separuh pertama tahun 2020

Misalnya Pemerkasaan Pelan Covid-19 menyebut penambahan had dana Covid-19 sebanyak RM45 bilion daripada RM65 bilion seperti diluluskan Parlimen pada tahun lalu kepada RM110 bilion. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN