ARAU: Kanak-kanak generasi ‘pandemik’ berdepan tahap kecerdasan minda berikutan terlalu lama mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian di rumah termasuk akibat menggunakan telefon pintar atau gajet dalam tempoh yang panjang.
Situasi tersebut boleh menyebabkan kanak-kanak khususnya berusia di bawah 12 hilang motivasi, bosan dan menghadapi tekanan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Psikologi Kaunseling Pusat Sains Liberal Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Dr. Junainor Hassan berkata, kanak-kanak yang terlalu lama belajar secara dalam talian boleh memberi kesan negatif khususnya daripada aspek kecerdasan minda.
Katanya, usia antara tujuh sehingga 12 tahun adalah tempoh penting bagi kanak-kanak berkenaan mengasah kemahiran interaksi sosial antara individu menerusi interaksi bersama guru dan rakan-rakan di sekolah.
Jelasnya, secara psikologi, proses pembelajaran secara dalam talian menyebabkan suasana belajar menjadi kurang kondusif sekali gus menyebabkan mereka hilang motivasi dalam jangka panjang.
“Pada usia kanak-kanak ini, selalu ada sifat untuk bersaing dalam pelajaran atau sebagainya dan apabila belajar secara bersemuka, mereka ada motivasi ke arah tersebut (belajar) bagi menjadi yang terbaik. Terlalu lama belajar di rumah, semangat dan motivasi tersebut akan semakin berkurangan dan mungkin pupus.
“Kanak-kanak ini juga berdepan rasa bosan, hilang motivasi dan tertekan. Sekolah adalah platform melepaskan tekanan apabila berada dalam suasana bersama rakan-rakan sebaya,” katanya.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, tiada kawalan penggunaan telefon pintar ketika tempoh pandemik Covid-19 yang awalnya sekadar untuk sesi PdPR, menjadi punca kepada masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Tambah Junainor, apabila pembelajaran menjadi lemah ada dalam kalangan kanak-kanak berusia tujuh tahun masih tidak mampu untuk mengenai huruf yang sepatutnya pada usia berkenaan sudah boleh menguasainya. – UTUSAN










