SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor bersama Kerajaan Persekutuan digesa menandatangani Perjanjian Paris mengenai perubahan iklim bagi mengelakkan kerajaan kerugian sehingga RM270 bilion pulangan hasil eksport.
Ini kerana, menjelang 2025 permintaan pasaran eksport dunia dipercayai akan melaksanakan dasar pembaikpulihan yang mesra alam sebagai syarat utama bagi menembusi dagangan global.
Perkara itu dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong Keat Ping yang melihat kepentingan perkara itu bertitik tolak daripada fenomena hujan yang turun melimpahi puncak tertinggi di Greenland pada 14 Ogos lepas.
“Ini merupakan tanda amaran alam sekitar, alam semula jadi. Perubahan iklim bukan lagi sebuah teori, sebaliknya adalah perkara nyata yang kita lihat dan rasa. Saya merujuk kepada laporan daripada Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) yang menyatakan bahawa masalah pemanasan global yang sedang meningkat akan menjadi lebih parah pada masa terdekat.
“Menurut kenyataan Pembantu Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zailani pada Majlis Pelancaran Kewangan Perdagangan Islam, adalah sangat mustahak bagi melatih pemilik syarikat dan pengusaha PKS untuk berevolusi mengikut permintaan pasaran eksport dunia yang mula menjalankan polisi pembaikpulihan yang mesra alam sebagai syarat utama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah ucapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Keempat Persidangan Dewan Negeri Selangor yang ke-14.
Sebelum ini, dalam titah ucapan, baginda menyentuh mengenai perubahan iklim yang mampu mengakibatkan bencana alam sehingga memberi impak negatif terhadap ekonomi dan menggesa kerajaan negeri mewujudkan ekosistem yang terbaik dan moden untuk menarik pelaburan dalam teknologi hijau yang berdaya tahan
Dalam pada itu, Elizabeth menyarankan Selangor memulakan langkah darurat iklim yang dalam masa sama terpaksa berhadapan dengan wabak pandemik Covid-19, bagi berhadapan dengan perubahan iklim, kesan alam sekitar termasuk melindungi hutan simpan di negeri itu.
“Dalam titah ucapan Sultan Selangor yang telah menzahirkan sukacitanya terhadap Kerajaan Selangor kerana melindungi sumber hutan, maka segala usaha untuk menyelamatkan Hutan Simpan Kuala Langat Utara dan Hutan Simpan Bukit Lagong, harus ditolak dan tidak timbul lagi.
“Isu perubahan iklim, perlindungan dan pemeliharaan di Selangor adalah sepatutnya diberi keutamaan, kita tahu ada banyak tekanan atas kerajaan negeri dan Exco alam sekitar untuk memberi milik kawasan hutan simpan, hijau dan juga hutan simpan belum diwarta,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










