'Peluru berselisih, nyaris kepala bersepai' - Utusan Malaysia

‘Peluru berselisih, nyaris kepala bersepai’

KAMARUDIN Li menunjukkan enjin bot antik jenis Canada kelajuan 20 kuasa kuda di Kampung Tanjung Buluh di Lipis, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: “Nyaris kepala saya bersepai dengan peluru tembakan komunis. Syukur Allah SWT masih memanjangkan hayat saya”.

Demikian cerita bekas Home Guard, Kamarudin Li, 82, kepada Utusan Malaysia tentang peristiwa diserang komunis di Kampung Sepial, Kuala Tembeling pada 1955 yang tidak pernah luput dari ingatannya.

Katanya, waktu itu, dia bersama 10 orang rakan Home Guard diketuai Pawang Nong Santan dari Kampung Hulu Cheka membuat rondaan di kawasan hutan kampung tersebut apabila diarahkan oleh seorang pegawai British dari Balai Polis Kuala Lipis.

“Kami diarahkan oleh pegawai polis berkenaan meronda di kawasan hutan kampung itu kerana komunis kerap membuat kacau dan mengganggu penduduk setempat.

“Ketika itu, usia saya hampir 18 tahun dan tidak langsung berasa gentar dan bersemangat apatah lagi ketua kami (Pawang Nong) memang sangat dikenali ramai kerana mempunyai kepandaian (ilmu) yang luar biasa,” katanya di sini semalam.

Bercerita lanjut, Kamarudin berkata, operasi yang bermula pukul 9.30 malam itu pada mulanya agak tenang kemudiannya gempar apabila anggota Home Guard mula dihujani peluru pengganas komunis.

“Apa lagi kami pun berlindung dalam suasana gelap sambil kedengaran Pawang Nong berteriak ‘Allahuakbar’ dan meminta kami membalas serangan.

“Dalam keadaan kelam kabut, saya berasa beberapa kali hujung topi dan atas kepala seakan-akan berselisih dengan peluru senapang pengganas termasuk bunyi (peluru) ketika terkena pokok,” katanya.

Menurutnya, kejadian peluru berselisih dan melintas atas kepala tetap gerun serta diingati sehingga kini dan alhamdulillah hayatnya masih dipelihara Allah SWT, jika sebaliknya kemungkinan kepalanya ‘bersepai’ dan hanya tinggal nama sahaja.

Cerita Kamarudin, dalam serangan itu pasukan Home Guard yang cuma berbekalkan senapang jenis Johnson atau dipanggil senapang Cap Burung Hantu berjaya menembak mati seorang pengganas komunis manakala musuh lain lari meninggalkan kawasan itu.

Beliau berkata, mayat pengganas itu dibawa keluar dan dipamerkan di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Tembeling untuk tontonan orang ramai.

“Pada keesokannya, Sultan Pahang berangkat ke Kuala Tembeling untuk meraikan serta memberikan penghargaan kejayaan pasukan Home Guard dan tidak lama kemudian, saya diundang ke Pekan menerima Anugerah Keberanian Termuda oleh istana,” katanya.

Menurutnya, tugasnya Home Guard bukan sahaja mengawal kawasan, tetapi bertindak sebagai pemandu bot Sungai Jelai untuk mengangkut anggota polis dan penduduk dari bandar Kuala Lipis ke Kuala Medang.

“Peralatan yang masih saya simpan sehingga hari ini, iaitu sebuah enjin bot jenis ‘Canada’ berusia 60 tahun dibeli daripada seorang rakan dengan harga RM200.

“Enjin yang mempunyai kelajuan cuma 20 kuasa kuda masih saya simpan sehingga ini pernah digunakan untuk mengangkut penduduk termasuk anggota polis dan Home Guard ketika membuat rondaan di Sungai Jelai pada awal 1960-an,” katanya.

Mengakhiri cerita era Komunis, Kamarudin yang digelar ‘Raja Sungai’ oleh penduduk Lipis berkata, walaupun tidak dibayar gaji satu sen pun oleh pihak British, tetapi dia tetap puas dan berbangga kerana dapat berbakti untuk nusa dan bangsa.

“Walaupun komunis sudah meletakkan senjata, tetapi kita khususnya generasi hari ini perlu hayati peristiwa kekejaman musuh ini serta mempelajari sejarah ketika ancaman komunis 1948 sehingga 1959 agar sentiasa waspada dan menjadi teladan pada masa akan datang.

“Pada masa yang sama kenang serta hargailah jasa negarawan termasuk bekas Home Guard, Special Constable, polis dan Askar Melayu yang berjuang mempertahankan tanah air sehingga negara kita merdeka dan berdaulat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN