PETALING JAYA: Cadangan penubuhan jawatankuasa khas bebas yang berfungsi meneliti calon dilantik sebagai Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat akan mencetuskan pertindihan bidang kuasa eksekutif dan perundangan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam, Datuk Hasnal Rezua Merican berkata, masalah timbul apabila terdapat pihak ketiga ‘mengambil’ peranan itu sedangkan ia sudah terletak kepada kedua-dua cabang berkenaan.
Katanya, jawatankuasa itu hanya boleh membuat saranan untuk menamakan sekurang-kurangnya tiga atau empat calon untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan sokongannya diuji wakil rakyat di Parlimen.
“Analogi mudah, seorang Perdana Menteri tidak boleh melantik anggota Kabinet melalui pelantikan badan lain sebaliknya ia dilakukan oleh kerajaan sendiri dan dipersembahkan kepada Seri Paduka.
“Biasanya, pelantikan Speaker dan Timbalan Speaker akan dinamakan oleh legislatif dan eksekutif dan undian daripada semua wakil rakyat dan Dewan akan meluluskan usul dibawa kerajaan jika mendapat sokongan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian mengulas cadangan menubuhkan jawatankuasa khas melantik Speaker Dewan Rakyat supaya individu itu lebih adil, berani membuat keputusan dan tidak berpihak kepada kerajaan atau pembangkang.
Pelantikan seorang Speaker Dewan Rakyat sering kali didakwa pihak tertentu sebagai berat sebelah kerana dilantik oleh kerajaan. Ada juga yang menuntut supaya Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azhar Azizan meletakkan jawatan kerana didakwa memihak kepada kerajaan, namun tiada bukti kukuh ke arah itu dan ia kekal sebagai ‘cakap-cakap luar’.
Sementara itu, peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berkata, cadangan menukar jawatan speaker Dewan Rakyat memerlukan pindaan Perkara 57 (1), Perlembagaan Persekutuan bahawa Dewan Rakyat hendaklah memilih seseorang sama ada ahli Dewan Rakyat atau layak dipilih ke dalam jawatan itu.
Beliau juga menafikan Azhar Azizan dan sesiapa yang menjadi speaker Dewan sebagai tidak neutral dalam membuat keputusan kerana mereka merujuk kepada Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan lebih memahami undang-undang.
Merujuk perkara 11 (3) peraturan mesyuarat, katanya, jika Perdana Menteri memaklumkan kepada Speaker Dewan bagi faedah orang ramai, mustahak bagi Majlis mengadakan mesyuarat dahulu daripada tarikh yang ditetapkan.
Manakala speaker Dewan hendaklah mengeluarkan pemberitahu menyatakan berapa hari bulan hendak diadakan mesyuarat dan Majlis hendaklah mengadakan mesyuarat pada masa yang disebutkan dalam pemberitahuan itu.
“Tidak ramai yang faham bagaimana seorang speaker dewan menjalankan tugasnya. Dia tertakluk kepada peraturan dan tidak boleh semudah itu dalam membuat keputusan.
“Apapun, sebarang peraturan boleh ditukar tetapi memerlukan konsensus daripada semua ahli Parlimen dan lebih baik isu ini dikaji oleh semua parti-parti politik, peguam dan ahli akademik,” katanya. – UTUSAN ONLINE










