YAN: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob belum membuat keputusan mengenai pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi melengkapkan barisan Kabinet yang akan beliau bentuk dalam minggu ini.
Namun Perdana Menteri membayangkan Kabinet itu tidak melibatkan pemimpin pembangkang.
Jelasnya, kerjasama dengan pem bangkang hanya melibatkan isu Covid-19 dan pemulihan ekonomi melalui Majlis Pemulihan Negara (MPN).
Katanya, beliau akan mempersembahkan senarai penuh Ka binet itu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mendapat perkenan terlebih dahulu.
“Tunggu pengumuman. Senarai belum ada, saya akan pertimbang semua,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke kawasan bencana kepala air di Titi Hayun, di sini semalam.
Beliau berkata, jawatan Timbalan Perdana Menteri juga belum diputuskan walaupun ada cadangan untuk berbuat demikian.
Ismail Sabri mengangkat sum pah jawatan sebagai Perdana Menteri Sabtu lalu selepas 114 daripada 220 ahli Parlimen mencalonkan nama beliau kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai pengganti Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan kerana kehilangan majoriti.
Ekoran pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, beberapa pihak mencadangkan pemimpin mereka sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baharu.
Sebelum ini tular kononnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahukan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, namun kemudiannya dinafikan oleh kepimpinan parti itu.
Dua lagi pemimpin Bersatu iaitu Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin juga antara yang dicadang mengisi kekosongan itu.
Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Datuk Amar Dr. James Masing sebelum ini juga mencadangkan agar jawatan Timbalan Perdana Menteri diisi oleh calon dari Sabah atau Sarawak.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, pelantikan berkenaan jika berlaku, individu berkenaan harus ada kuasa untuk membantu Sarawak dan Sabah dalam apa sahaja perkara berkaitan pemulihan dan pengembalian penuh terma Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ditanya cadangan pelantikan Timbalan Perdana Menteri dari Sarawak, Ismail Sabri berkata, beliau sedang mempertimbangkan senarai nama yang dicadang daripada semua parti Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.
“Mengenai Timbalan Perdana Menteri dari Sarawak, saya akan pertimbang semua sebelum putuskan siapa menjadi menteri, kita lihat secara keseluruhan dan ambil kira kepentingan semua pihak,” ujarnya.
Pada masa sama, Ismail Sabri turut meminta orang ramai supaya jangan mempercayai senarai nama menteri Kabinet palsu dikeluarkan oleh pihak tertentu.
“Jangan percaya, banyak sekarang ini keluar nama menteri Kabinet, setiap hari ada senarai baharu,” katanya. – UTUSAN ONLINE










