Gandingan Ismail Sabri dan Anwar? - Utusan Malaysia

Gandingan Ismail Sabri dan Anwar?

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Gandingan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkemungkinan mampu memberikan kesan positif kepada pengurusan krisis kesihatan yang melanda negara ketika ini.

Selain itu, jika boleh diwujudkan kerajaan perpaduan yang bersifat rentas parti dengan prinsip governans bersama mampu dijadikan jalan penyelesaian memandangkan kedua-dua pihak tidak memiliki majoriti kukuh bagi membentuk kerajaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub, Muhammad Ariff Asyrul Adnan berkata, dalam jangka masa singkat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), model itu dilihat terbaik khususnya bagi membantu menyelesaikan masalah dihadapi negara dan rakyat.

“Dalam masa yang sama juga, model ini boleh dijadikan mekanisme seandainya kita ingin melihat sejauh mana kematangan politik pemimpin kita.

“Saya melihat, kedua-dua calon (Ismail Sabri dan Anwar) sebenarnya memiliki kredibiliti untuk diangkat sebagai Perdana Menteri, jadi tidak salah jika mereka bergandingan bersama,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, Muhammad Ariff Asyrul berkata, Ismail Sabri dilihat sebagai pemimpin UMNO yang memiliki imej baik khususnya semasa menjadi Menteri Kanan di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan menyelia pengurusan prosedur operasi standard (SOP) sejak Covid-19 melanda negara.

Selain itu katanya, ia ditambah pula dengan pengalaman lama Ismail Sabri dalam Kabinet di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lalu menjadikan beliau layak dicalonkan sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, begitu juga Anwar, pengalamannya sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika bersama UMNO dan sebagai Ketua Pembangkang selama hampir 15 tahun, menjadikan Presiden PKR tersebut juga memiliki kredibiliti untuk dicalonkan.

Namun katanya, Ismail Sabri jika dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan pastinya akan menghadapi cabaran besar khususnya menanggapi imej UMNO yang kuat dengan label kleptokrat.

Jelasnya, lebih utama cabaran menyelesaikan gelombang pandemik, masalah ekonomi dan konflik politik pasca pertukaran Perdana Menteri yang datang dari dalam PN mahupun pembangkang.

“Dengan pengalaman Ismail Sabri dan bakal barisan kabinetnya jika berjaya menguruskan Covid-19 dengan baik maka ia akan memberi nilai tambah positif kepada kelangsungan UMNO di mata rakyat.

“Jika Anwar diberikan ruang menjadi Perdana Menteri, saya lihat Anwar akan berhadapan dengan tekanan yang sangat besar baik dari dalam parti mahupun luar. Kebolehan Anwar dalam menguruskan krisis masih belum terbukti kerana belum memiliki peluang.

“Namun, tiada salah juga diberikan ruang kepada Anwar memandangkan beliau pernah membentang dan memberikan saranan pelan pengurusan dan pemulihan Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN