Exco Kesihatan Kedah disahkan positif Covid-19 - Utusan Malaysia

Exco Kesihatan Kedah disahkan positif Covid-19

DR. MOHD. HAYATI OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman disahkan positif Covid-19 selepas pulang menjalankan misi bantuan dan kemanusiaan di kawasan tragedi kepala air di Gunung Jerai, Yan baru-baru ini.

Menurut Mohd. Hayati, beliau hadir ke Yan pada Sabtu lalu bagi menjalankan misi bantuan selain membantu membersihkan rumah penduduk yang terjejas.

Katanya, ketika itu segala prosedur operasi standard (SOP) telah dipatuhi termasuk makan secara berasingan dan mengamalkan pemakaian pelitup muka sepanjang masa.

“Tetapi, pada hari Ahad, saya mula batuk diikuti demam pada Isnin. Apabila diperiksa, saya disahkan positif Covid-19 bersama isteri.

“Namun, Alhamdulillah, kami sudah melengkapkan dua dos vaksin dan sekadar bergejala ringan iaitu hanya berada di kategori dua Covid-19. Tidak pastilah sama ada saya dijangkiti di Yan atau di tempat-tempat lain sebelum itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, keadaannya kini semakin baik dengan tahap oksigen turut berada antara 96 dan 97 peratus.

“Jujurnya, saya tak pasti di mana saya dijangkiti. Semasa pergi ke Yan tempoh hari, memang ada orang yang datang dari luar bersama saya tetapi mereka juga nampak sihat dan ceria tanpa ada sebarang tanda penyakit.

“Disebabkan itu, saya amat mengharapkan semua pihak terutamanya mereka yang menjalankan misi bantuan di kawasan terjejas supaya tidak sekali-kali mengabaikan SOP,” katanya.

Tambahnya, beliau sekarang menjalani kaurantin di rumah dan akan hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) bagi pemantauan berkala.

“Keadaan saya kini semakin pulih dan mungkin hanya akan menjalani kuarantin di rumah. Semua itu bergantung kepada penilaian di CAC nanti,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN