PUTRAJAYA: Kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan ibu mengandung semakin serius, dengan 78 kematian direkodkan sejak Januari lalu sehingga kelmarin berbanding tiada kematian dilaporkan pada tahun lalu.
Lebih membimbangkan, daripada jumlah 78 kematian itu, 63 kes atau 87 peratus direkodkan dalam tempoh dua bulan terakhir ini iaitu 17 kematian dalam bulan Jun, 29 (Julai) dan 17 (setakat 8 Ogos).
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, daripada jumlah itu juga, dua kematian melibatkan mangsa yang sudah mendapat satu dos vaksinasi manakala 76 lagi belum divaksin.
“Tiada kes sepanjang tahun lalu, namun bermula tahun ini ia merekodkan purata kes sejak Januari sehingga Mei adalah sebanyak dua kes setiap bulan.
“Kes kematian naik mendadak sejak Jun lalu, dengan sebanyak 65 peratus daripadanya mempunyai komorbid,” katanya.
Beliau berkata, 21 kes kematian berlaku semasa mengandung, 44 kes selepas bersalin dan lima kes selepas mengalami keguguran manakala lapan lagi kes kematian adalah berpunca faktor lain namun disahkan positif Covid-19.
Beliau berkata, sejak Mac 2020 sehingga Jun lalu, sejumlah 3,396 kes Covid-19 dilaporkan dalam kalangan ibu hamil di negara ini.
Katanya, kes mula meningkat bermula Oktober 2020 dengan purata 200 kes jangkitan sebulan dan melonjak dengan mendadak pada Mei lalu dengan 850 kes dan 899 kes pada Jun lepas yang dipercayai akibat varian baharu yang lebih cepat merebak dan mudah menjangkiti.
“Ibu hamil yang dijangkiti Covid-19 yang menerima penjagaan di unit rawatan rapi (ICU) meningkat dari tiga peratus pada 10 Julai lalu kepada 5.3 peratus pada 7 Ogos lalu.
“Nisbah kes ibu hamil dijangkiti yang menerima rawatan rapi berbanding jumlah pesakit Covid-19 kritikal ialah 1 dalam 20. Nisbah ini jauh lebih tinggi berbanding nisbah jangkitan ibu hamil dalam populasi umum iaitu 1 dalam 220,” katanya di sini semalam.
Adham memberitahu, sehingga 8 Ogos lalu, seramai 146,759 ibu hamil mendaftar dalam aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan vaksin Covid-19, sejak kempen dimulakan pada akhir Jun.
Katanya, seramai 83,251 orang iaitu 57 peratus ibu hamil sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala mereka yang lengkap menerima dua dos vaksin ialah 20 peratus.
“Berdasarkan anggaran ibu hamil setahun, peratus ibu hamil yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin di aplikasi MySejahtera masih rendah iaitu 40 peratus.
“Memandangkan ibu hamil tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk, langkah-langkah pencegahan amat penting bagi mengelakkan jangkitan. Pada masa sama, semua ibu hamil diseru mendapatkan vaksin kerana boleh mengurangkan risiko komplikasi,” katanya.
Mengulas lanjut, Adham berkata, pengambilan vaksin perlu dilengkapkan sebelum memasuki fasa akhir kehamilan iaitu pada trimester ketiga dan mana-mana ibu hamil yang masih belum menerima janji temu untuk vaksinasi boleh menghubungi klinik kesihatan terdekat bagi mempercepatkan proses tersebut.
Katanya, sekiranya disahkan positif, semua ibu hamil termasuklah yang tidak bergejala, mesti hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) untuk menjalani penilaian doktor dan ikut nasihat doktor jika perlu dipantau di fasiliti kesihatan, atau jika berada di rumah dan gejala bertambah teruk, mereka perlu segera ke klinik atau CAC berdekatan.
“Jika berlaku kecemasan, boleh hubungi talian 999 atau segera ke hospital berdekatan. Ibu hamil atau ahli keluarga boleh juga menekan butang SOS di aplikasi MySejahtera jika bantuan segera diperlukan,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, ibu hamil dinasihatkan kekal berada di rumah kecuali untuk tujuan penting dan mana-mana ahli keluarga diingatkan untuk tidak menjadi punca jangkitan kepada ibu hamil dengan mematuhi SOP ketika berada di luar rumah.
habis










