Bekas penjual buah miliki dadah dipenjara lima tahun - Utusan Malaysia

Bekas penjual buah miliki dadah dipenjara lima tahun

CHENG KUI FAT (kiri) dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah memiliki dadah ketamin seberat 1,730.6 gram di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap seorang bekas penjual buah selepas didapati bersalah atas pertuduhan memiliki 1,730.6 gram dadah, dua tahun lalu.

Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor membuat keputusan itu pada peringkat akhir pembelaan dan selepas pertuduhan terhadap tertuduh dipinda.

Berdasarkan pertuduhan asal, tertuduh, Cheng Kui Fat, 29, didakwa mengedar dadah disyaki ketamin seberat 1,730.6 gram dan boleh dihukum gantung sampai mati mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama.

Bagaimanapun, pertuduhan tersebut hari ini dipinda kepada memiliki dadah dengan jumlah yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan pelepasan antarabangsa (Link Bridge) Kastam, Aras 4 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada pukul 5.20 petang, 18 Mei 2019.

Hukuman penjara ke atas tertuduh diarah bermula dari tarikh tangkap pada 18 Mei 2019.

Dalam penghakimannya, Nurulhuda menegaskan tiada alasan kukuh menyatakan jumlah berat itu adalah untuk tujuan pengedaran dadah.

“Selain itu, tiada saksi pendakwaan juga menjurus kepada perkara tersebut.

“Kamu (tertuduh) dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah namun didapati bersalah kerana memiliki dadah jenis ketamin,” katanya.

Kes pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Heikal Ismail mengemukakan seramai tujuh saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, pihak pembelaan yang diwakili peguam bela, Anwar Ab. Raof hanya memanggil tertuduh memberi keterangan secara bersumpah daripada kandang saksi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×