Teliti dulu sebelum dakwa busana Olimpik keanak-anakan - Utusan Malaysia

Teliti dulu sebelum dakwa busana Olimpik keanak-anakan

Busana kontinjen Malaysia bertemakan Laksamana Hang Tuah menjadi perhatian ramai semasa majlis perasmian Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Netizen disaran meneliti terlebih dahulu maksud sebenar rekaan busana kontinjen Malaysia di pembukaan rasmi Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dikatakan ‘keanak-anakan’ disebabkan pemilihan corak dan warnanya.

Ketua pasukan pereka dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Khairul Azlan Abdul Karim berkata, inspirasi rekaan tersebut datang melalui perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai klien mengikut aspek kehendak, elemen, faktor wow dan nilai estetik yang ingin diketengahkan.

“Setelah mendapat taklimat daripada MSN, kami mengetengahkan konsep Laksamana Hang Tuah menerusi elemen semangat, perjuangan dan perpaduan. Perkara ini digarap khusus untuk mendapatkan semangat baharu.

“Dengan situasi pandemik yang menggugat mental dan fizikal, kami cuba menghasilkan sesuatu yang segar dan sudah lama tidak keluar kaca televisyen,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi.

Menurutnya, pemilihan warna daripada Jalur Gemilang merupakan syarat rekaan dan sewajarnya digunakan untuk pembukaan temasya itu, yang memerlukan faktor wow untuk dijadikan identiti..

“Rekaan ini dianggap merangsang atlet lebih berjuang mendapatkan pingat untuk Malaysia.

“Elemen kemelayuan sudah wujud dengan baju Melayu teluk belanga, samping dan tengkolok, yang cukup lengkap menggambarkan peragaan Melayu dan melambangkan ciri-ciri kepahlawanan dan pendekar.

“Pentas perbarisan juga banyak menggunakan warna putih dan lembut. Ini merupakan langkah selamat untuk tidak membiarkan mereka tenggelam dalam suasana majlis tersebut,” ujarnya.

Katanya, gabungan corak dan warna yang dipilih mungkin dianggap keanak-anakan tetapi ia digunakan dalam temasya sukan, yang sepatutnya menjadi keseronokan dan kesan rangsangan fizikal ceria dan memberi tenaga. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN