Peneroka bebas hutang tuntut insentif - Utusan Malaysia

Peneroka bebas hutang tuntut insentif

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Peneroka Felda yang berjaya melangsaikan hutang dengan agensi itu menuntut diberikan insentif atau hadiah ‘kek’ sempena Hari Peneroka Felda sebagai keadilan kepada mereka untuk sama-sama menikmati faedah yang dilaksanakan kerajaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Peneroka Felda Jengka 6, Saharuddin Lela, 63, berkata, tuntutan itu wajar kerana peneroka yang masih berhutang boleh menikmati potongan sehingga lebih RM80,000.

Menurutnya, peneroka menghargai tindakan kerajaan yang bersetuju menghapuskan hutang peneroka sebanyak RM8.3 bilion seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena Hari Peneroka Kebangsan pada 7 Julai lalu.

“Peneroka yang tiada hutang dengan Felda juga perlu diberi perhatian supaya sama- sama merasai ‘kek’ Hari Peneroka Felda itu,” katanya di sini semalam.

Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud, 59, berkata, ramai peneroka yang tiada hutang dengan Felda mengadu mereka seperti ‘teraniaya’ sekiranya pelaksanaan hapus hutang itu dilaksanakan.

Menurutnya, peneroka terlibat kebiasaannya mereka yang setia menjual hasil kepada Felda dan hutang dengan agensi itu pun sudah langsai dan jika ada pun, bakinya hanya sedikit.

Katanya, bagi peneroka yang mempunyai hutang lebih RM100,000, sudah tentu berbesar hati kerana mendapat pengurangan antara RM60,000 hingga RM80,000.

“Ini bermakna yang banyak mendapat manfaat penghapusan hutang dalam kalangan peneroka yang menguruskan sendiri ladang dan gemar ‘menolak’ hasil sawit mereka kepada pihak luar,” katanya.

Sementara itu, generasi kedua Felda Sebertak, Bera Rosli Abu Kassim, 54, berkata, berdasarkan penyata pendapatan terkini milik ayahnya, Abu Kassim Kamis mencatatkan baki hutang kira-kira RM30,000.

Menurutnya, baki asal hutang ayahnya sebelum dibuat potongan 80 peratus ialah RM115,149 dan jumlah penghapusan hutang diterima lebih RM80,000.

“Ramai peneroka dan generasi Felda sebagai pentadbir di Felda Sebertak menandatangani borang perjanjian sebagai tanda persetujuan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN