IPOH: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang baru diluluskan pendaftarannya mungkin bertanding di 14 kerusi Parlimen dan 39 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua Majlis Pimpinan Pejuang Negeri Perak, Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, kerusi-kerusi tersebut dikenal pasti sebagai kawasan majoriti pengundi Melayu, selaras dengan teras parti itu sebagai parti Melayu dan bumiputera.
Katanya, walaupun parti baharu, tidak mustahil Pejuang bertanding di semua kerusi berkenaan.
“Daripada 24 Parlimen dan 59 DUN di negeri ini, berdasarkan daftar pengundi, 14 Parlimen dan 39 DUN adalah kawasan majorit pengundi Melayu, tak mustahil Pejuang bertanding di kawasan majoriti Melayu, cuma perkara ini belum kita diputuskan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Mengenai keahlian Pejuang di Perak, beliau berkata, sebelum parti itu diluluskan pendaftarannya, ia sudah mempunyai lebih 3,000 ahli.
Katanya, selepas diluluskan, minat terhadap pejuang semakin bertambah dan menerima sambutan yang sangat baik.
“Pejuang Perak yakin keahlian mencecah lebih 5,000 dalam beberapa bulan lagi, Walaupun masih baru, Pejuang boleh menjadi pilihan baik kepada rakyat kerana asas perjuangannya untuk menghapuskan rasuah dan kleptokrasi.
“Pejuang mahu menebus maruah Melayu, menghapuskan pihak yang menunggang agama demi kepentingan politik. Orang Melayu perlukan platform yang sebegini, jadi Pejuang mempunyai peluang di Perak,” katanya.
Menurutnya, Pejuang Perak tidak mempertaruhkan figura atau nama-nama besar dalam dunia politik tanah air sebaliknya keahliannya terbuka kepada pelbagai golongan termasuk profesional dan mereka yang tiada latar belakang politik.
Katanya, Pejuang mencari wajah dan personaliti baharu dalam dunia politik tanah air tetapi ada keupayaan dan latar belakang yang kuat tapi tidak semestinya orang politik.
“Begitu pun kami meneliti keahlian, kami tidak mahu mereka yang kecewa di parti lain dan menjadikan Pejuang sebagai tempat untuk melepaskan marah,” katanya. – UTUSAN ONLINE










