Kita perlukan pemimpin responsif - Utusan Malaysia

Kita perlukan pemimpin responsif

RAKYAT tidak wajar terus dibebani dengan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebaliknya mereka mahukan penyelesaian yang tuntas terhadap pandemik Covid-19 daripada pemimpin yang responsif.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia memerlukan pemimpin yang responsif, cekap dan tegas dalam membuat keputusan selain mudah bersepakat, tidak mengira mana-mana fahaman parti politik dalam mengharu­ngi pandemik Covid-19.

Bercakap kepada Utusan Malay­sia, Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, menjaga kestabilan negara dan keselesaan rakyat yang kini menghadapi tekanan mental sangat diperlukan.

“Kita memerlukan pemimpin yang boleh respons cepat kepada keadaan dan perubahan yang amat dinamik. Covid-19 adalah letupan era yang luar biasa. Jadi, yang diperlukan adalah pemim­pin yang tegas dan bergerak pantas kepada dinamik perubahan fakta.

“Jadi, kalau Covid-19 menjejaskan ekonomi, ini yang perlu diatasi. Ketegasan juga diperlukan dalam mengawal berita-be­rita palsu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Tambah beliau, respons komunikasi daripada seseorang pemimpin juga penting bagi meningkatkan kembali keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

“Ini kerana sudah wujud defisit dari segi keyakinan kepada kerajaan. Begitu juga dengan defisit politik sebab banyak kucar-kacir, berita palsu, sebab orang dah kurang yakin dengan kepemimpinan yang ada.

“Apa yang kita lihat kini, dalam kalangan ahli politik sentiasa hendak rebut kuasa sahaja sehingga mengganggu gugat pemikiran dek kerana proses politiking,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, tokoh ve­teran DAP, Dr. Tan Seng Giaw turut berkata, apa yang rakyat inginkan adalah melihat semua kepim­pinan bersatu tidak mengira parti politik.

“Dalam keadaan malapetaka ini, semua rakyat mestilah bersama-sama perjuangkan dan mengatasi bencana ini. Itu perlu kita buat, walaupun ada masalah politik, kita perlu berikhtiar untuk menunjukkan kecintaan pada negara.

“Kita tidak mahu mewujudkan pertikaian tidak kira parti politik kerana seharusnya kita bersama menghadapi musuh kita sekarang iaitu Covid-19,” katanya lagi.

Tokoh pendidikan, Tun Arshad Ayub berkata, rakyat ingin melihat kesepakatan dalam barisan Kabinet kerajaan terlebih dahulu supaya boleh membuat keputusan yang diperlukan.

“Nak suruh orang lain bersatu, kalau dalam Kabinet tidak bersatu, macam mana? Kalau tidak setuju pada dasar yang dibuat, berhentilah. Buat apa tunggu? Undur diri lebih baik. Terpulang, nak ikut parti atau nak ikut arahan Perdana Menteri.

“Berikan vaksinasi kepada mereka yang bekerja supaya ekonomi berjalan seperti biasa,” katanya lagi.

Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff pula berkata, jangan ada pihak yang menongkah arus dari keputusan yang dibuat kerajaan sebagai satu tanda sebulat suara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×