Geran GeRAK  RM35 juta untuk PBT laksana inisiatif bandar rendah karbon - Utusan Malaysia

Geran GeRAK  RM35 juta untuk PBT laksana inisiatif bandar rendah karbon

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelan Induk  Bandar Rendah Karbon Negara yang dilancarkan hari ini memberi panduan lengkap kepada kerajaan negeri  dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam membangunkan bandar rendah karbon di kawasan pentadbiran masing-masing.  

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelan itu bagi memperkukuh kerangka  pelaksanaan inisiatif rendah karbon dengan lebih sistematik serta  mencapai sasaran pengurangan karbon yang jelas.

Menurut beliau, sebagai langkah galakan dan sokongan kepada PBT melaksanakan inisiatif bandar rendah karbon berimpak tinggi,  kerajaan menerusi Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melancarkan Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK)  sebanyak RM35 juta.

Perdana Menteri menjelaskan, keutamaan diberikan kepada PBT yang  sudah melaksanakan program bandar rendah karbon (LCCF) serta  menyertai program Low Carbon Cities 2030 Challenge (LCC2030C)  di peringkat kategori Zon Rendah Karbon. 

“Ini adalah sokongan dan  suntikan dana diberikan kepada PBT untuk memacu tindakan  perubahan iklim di peringkat PBT dan akar umbi.

“Sehubungan itu, saya menyeru agar pihak berkepentingan  terutama PBT menyambut baik usaha kerajaan dan memberikan  kerjasama serta komitmen jitu dan berterusan kepada  Kementerian Alam Sekitar dan Air dalam melaksanakan transformasi  ke arah bandar rendah karbon yang dibawa melalui Pelan ini.

“Saya amat yakin inisiatif  ke arah bandar-bandar rendah karbon di Malaysia boleh  dilaksanakan dengan lebih berkesan menggunakan pendekatan  bersepadu dan sistematik,” katanya ketika berucap pada Majlis  Persidangan Bandar Rendah Karbon Malaysia (MyL3C) dan pelancaran Pelan itu secara maya, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. 

Muhyiddin berkata, berdasarkan kajian Global Commission on the Economy and Climate, analisis peringkat bandar terkini berkaitan kes  ekonomi bagi tindakan rendah karbon menunjukkan bahawa  langkah-langkah bandar rendah karbon mewakili peluang ekonomi  berjumlah AS$16.6 trilion di seluruh dunia.

Katanya, ia berdasarkan hanya  kepada penjimatan tenaga yang boleh diperoleh daripada pelaburan  rendah karbon.  

Justeru, kata beliau, transformasi bandar-bandar di Malaysia kepada bandar rendah  karbon akan membangunkan ekonomi hijau tempatan, mewujudkan  peluang pekerjaan dan menarik minat pelaburan domestik dan  antarabangsa. 

“Antara sektor yang mendapat manfaat dari  usaha ini adalah sektor tenaga lestari, sektor mobiliti rendah karbon,  sektor pengurusan sisa dan kitaran semula dan sektor kecekapan air,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kerajaan negeri juga perlu menyelaras pelaksanaan bandar rendah  karbon dan menyokong usaha yang dilaksanakan di peringkat PBT  dengan menyediakan peruntukan termasuk galakan penyertaan PBT  dalam program Cabaran LCC 2030. 

Di samping itu, katanya, elemen bandar  rendah karbon wajar dipertimbangkan kerajaan negeri untuk  diterapkan dalam perancangan pembangunan seperti rancangan  struktur negeri.

 “Walaupun aktiviti-aktiviti dalam kawasan bandar merupakan  penyumbang utama pelepasan gas rumah kaca  (GHG), namun bandar-bandar juga  memainkan peranan penting dalam tindakan perubahan iklim menuju  ke arah penghuni bandar yang sejahtera dan bandar Malaysia yang  lestari,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.