Sering ketinggalan PdPR tetap raih 10A - Utusan Malaysia

Sering ketinggalan PdPR tetap raih 10A

Nurfatihah Syafikah Che Din menunjukkan keputusan peperiksaan SPM kepada ibunya, Mohammed Samin Norazua di Kampung Gajah, semalam. - UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Walaupun berdepan kesukaran memperoleh capaian internet bagi mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), Nurfatihah Syafikah Che Din tetap memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Nurfatihah Syafikah yang tinggal di Kampung Tersusun Bukit Chawi, Kampung Gajah dekat sini merupakan antara calon luar bandar peperiksaan itu yang berdepan kesukaran mengikuti PdPR.

Namun, di sebalik halangan berkenaan, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Jalil Shah, Seberang Perak, Kampung Gajah ini berjaya memperoleh 6A+, 2A, 2A- dalam semua mata pelajaran yang diambilnya.

Menurut anak bongsu daripada tiga beradik ini, disebabkan masalah capaian internet, dia terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan melakukan latihan tubi soalan-soalan peperiksaan SPM tahun sebelum ini.

“Kawasan saya di sini memang capaian internet bermasalah, jadi apabila sesi PdPR, saya antara pelajar yang sering ketinggalan kerana apabila masuk kelas online, saya terkeluar disebabkan capaian internet yang lemah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Nurfatihah Syafikah berkata, bagi memastikan tidak ketinggalan dalam pelajaran dia sering merujuk dan bertanya kepada guru-guru serta rakan-rakan kelasnya.

Ditanya rahsia kejayaannya, Nurfatihah Syafikah berkata, kepayahan ibunya, Norazua Mohammed Samin membesarkannya dan abang serta kakaknya selepas bapa mereka, Che Din Hamid meninggal dunia pada 2009 mendorong dia untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Apabila kenang semula kepayahan emak membesar, mendidik kami saya terus bersemangat untuk belajar bersungguh-sungguh untuk membanggakan emak,” katanya yang berhasrat mengikut kursus perubatan.

Nurfatihah Syafikah juga menasihati calon SPM 2021 dari luar bandar yang turut mengikuti PdPR supaya berusaha keras dan jangan menjadikan cabaran sebagai halangan untuk berjaya.

“Belajarlah bersungguh-sungguh, tolong diri sendiri walau banyak halangan kena usaha sendiri kerana jika bukan kita bantu diri kita, siapa lagi.

“Pada masa sama rajin bertanya dengan cikgu dan kawan-kawan. Jika ada kawan-kawan tak faham atau ketinggalan sama-sama kita bantu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya