Potong elaun wakil rakyat - Utusan Malaysia

Potong elaun wakil rakyat

JEMAAH menteri mempunyai buku Kod Etika Bagi Anggota-Anggota Pentadbiran sebagai panduan dalam mentadbir kerajaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kesemua 220 ahli Parlimen di negara ini dicadang membuat pemotongan elaun wa­kil rakyat masing-masing se­kurang-kurangnya 30 peratus un­tuk disumbangkan ke­pada Akaun Amanah Benca­na.

Semua 503 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga turut diminta berbuat demikian dengan pemotongan elaun se­kurang-ku­rangnya 20 pe­ratus.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Achmad Dzariean Mohd. Nadzri berkata, langkah itu bagi memperlihatkan usaha kolektif semua pihak dalam menangani pandemik Covid-19.

Katanya, ini bagi menyahut pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin, bahawa menteri dan timbalan menteri tidak akan mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun untuk disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana.

Pada masa sama, Ke­tua Se­tiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, lebih 800,000 penjawat awam turut menyumbang sebahagian Im­buhan Tetap Kerajaan (ITK) yang dinikmati mereka selama tiga bulan kepada Akaun Ama­nah Bencana yang dianggarkan berjumlah RM30 juta.

“Pengumuman Perdana Menteri ini adalah langkah tepat memandangkan kemampuan kewangan kerajaan pada masa ini agak terhad. Penjawat awam turut berbuat demikian, yang merupakan satu usaha baik dan patut dipuji oleh rakyat.

“Jadi tidak salah jika pemotongan elaun 30 peratus juga dikenakan kepada setiap ahli Parlimen manakala ADUN pula sebanyak 20 peratus di­sebabkan Parlimen dan DUN tidak bersidang ketika ini kerana tempoh darurat.

“Sewajarnya mereka mempunyai tanggungjawab sama secara kolektif untuk membantu kerajaan. Dalam pengetahuan saya elaun mereka mencecah RM15,000 sebulan,” katanya di sini semalam.

Achmad Dzariean berkata, sekiranya cadangan itu dipersetujui, maka langkah baik itu menunjukkan satu keterlibatan semua pihak terutama mereka yang berjawatan dalam memahami kesusahan dan beban rakyat menghadapi pandemik Covid-19.

Ketika ini, dua kerusi Parlimen kosong iaitu Parlimen Batu Sapi di Sabah dan Gerik di Perak manakala kerusi Dewan Undangan Negeri yang kosong adalah Bugaya (Sabah) dan Melor (Kelantan).

Pemotongan itu dijangka tidak akan memberi masalah kepada mereka yang terbabit khususnya untuk melaksanakan program promosi vaksinasi kerana setiap ahli Parlimen termasuk pembangkang disediakan peruntukan RM20,000 untuk tujuan tersebut, baru-baru ini.

Pada Mac tahun lalu, anggota Kabinet membuat pemotongan dua bulan gaji untuk disalurkan kepada Tabung Covid-19 yang ketika itu masih belum kritikal seperti sekarang.

Semalam juga, kesemua 15 ADUN PAS di Kedah bersetuju membuat potongan gaji seba­nyak 70 peratus untuk membantu golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di negeri itu melibatkan gaji bulan Jun.

Pada Januari lalu, kerajaan negeri Selangor mengaktifkan semula Tabung Bantuan Menangani Covid-19 yang sebahagiannya dibiayai melalui pemotongan gaji Exco, ADUN dan pegawai tinggi syarikat milik kerajaan (GLC) dengan Menteri Besar, Amirudin Shari menyumbang sebulan gajinya sebagai permulaan.

Pada tahun lalu, Menteri Besar Pahang dan barisan Exconya membuat dua kali potongan gaji mereka untuk disalurkan ke Akaun Amanah Bencana Negeri manakala Ketua Menteri Pulau Pinang dan Exconya turut me­lakukan langkah yang sama.

Selain wakil rakyat, puluhan pengerusi syarikat milik kerajaan (GLC), syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) serta ketua-ketua pegawai eksekutif (CEO) boleh menyahut saranan sama sebagai satu solidariti bersama kerajaan dan rakyat. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×