Percepatkan rangkaian 5G bantu PdPR - Utusan Malaysia

Percepatkan rangkaian 5G bantu PdPR

Diyana Ab Kadir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selain masalah pembelian peranti dan data internet, implementasi rangkaian telekomunikasi selular generasi kelima (5G) perlu diperluas serta dipercepatkan bagi memastikan kadar capaian perkhidmatan di negara ini berada pada tahap terbaik.

Pensyarah Kejuruteraan Komputer Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Diyana Ab. Kadir berkata, kepadatan penduduk dan bilangan pengguna yang terlalu ramai dalam satu- satu masa menyebabkan perkhidmatan ditawarkan tidak dapat menampung keperluan tersebut.

Katanya, syarikat penyedia telekomunikasi perlu menaik taraf perkhidmatan dari semasa ke semasa mengikut keperluan pelanggan.

“Sistem internet di negara ini ketinggalan kira-kira 10 tahun berbanding negara-negara maju lain, sekali gus menjadi punca sukarnya sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan dengan sempurna.

“Perkhidmatan yang baik secara tidak langsung membantu masyarakat di negara ini ke arah peningkatan teknologi maklumat yang baik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan memutuskan sesi pembelajaran selepas cuti pertengahan tahun akan diteruskan dengan kaedah PdPR selama 25 hari.

Namun Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Aminuddin Awang mengakui masih berlaku keciciran pelajar bukan sahaja melibatkan kawasan pedalaman, malah di bandar apabila ada keluarga tidak mampu membeli peranti dan data internet.

Dalam pada itu, Persatuan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) Presiden, Mohd. Azizee Hasan berkata, agihan peranti kepada murid daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) perlu disegerakan dan bukan dibuat pada penghujung September sehingga menyebabkan ramai pelajar tercicir.

“Selain itu, kerajaan boleh menubuhkan tabung dana PdPR untuk pembelian alat peranti dan diagihkan kepada murid yang memerlukan.

“Kakitangan kerajaan boleh mnyumbang RM10 seorang bagi pembelian peranti di samping pemberian insentif kepada guru yang menjalankan PdPR sama ada dalam bentuk pemberian data atau wang ringgit secara one off,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN