PASIR GUDANG: Kerajaan negeri digesa untuk segera menangani masalah tanah runtuh yang berlaku di Jalan Kedidi 1 dan Jalan Kedidi 31, Taman Scientex, di sini yang dikhuatiri membahayakan keselamatan penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, pihak terlibat seperti Bahagian Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (SUKJ), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan pemaju perumahan perlu bertindak segera.
Ini kerana katanya, keadaan tanah runtuh terutama di bahagian belakang rumah di Jalan Kedidi 31 sangat berbahaya dan sudah kritikal ketika ini.
“Keretakan jelas kelihatan bukan sahaja di dalam rumah tetapi juga di luar dan bahagian belakang rumah sehingga menyebabkan bawah lantai berlubang.
“SUKJ dan MBPG yang meluluskan projek perumahan ini perlu turun melihat keadaan ini dan membuat tindakan segera sebelum perkara tidak diingini berlaku,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian, di sini hari ini.
Semalam, penduduk perumahan di kedua-dua jalan tersebut menyuarakan kebimbangan mereka ekoran Insiden tanah runtuh yang berlaku sejak awal tahun dipercayai akibat musim hujan hujung tahun lalu.
Penduduk yang ditemui memaklumkan telah membuat aduan kepada pihak berkuasa dan pemaju, namun, tindakan diambil pemaju hanyalah menutup kawasan tanah runtuh menggunakan kanvas.
Sementara itu, Che Zakaria berkata, kerja-kerja membaiki tanah runtuh di Jalan Kedidi 1 juga perlu ditambah baik kerana batu kerikil dan kayu bakau yang digunakan tidak sesuai dan membahayakan penduduk terutama kanak-kanak.
“Pihak terlibat tidak boleh lepas tangan kerana masalah tersebut merupakan tanggungjawab mereka dan kerisauan kira-kira 5,000 penduduk di kedua-dua jalan itu adalah berasas,” ujarnya.
Dalam pada itu, usaha mendapatkan komen syarikat pemaju kediaman berkenaan gagal apabila cubaan yang dibuat untuk menghubungi mereka tidak berjaya. -UTUSAN ONLINE










