PUTRAJAYA: Kesukaran ‘laluan’ yang perlu ditempuh sebelum diiktiraf sebagai profesional dilihat antara faktor utama lebih 50 peratus graduan bidang itu tidak lagi berminat meneruskan atau memasuki sektor tersebut selepas tamat pengajian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, mereka perlu mengambil peperiksaan tertentu pelbagai peringkat seperti latihan chambering bagi peguam, peperiksaan penilaian profesional untuk bidang kejuruteraan atau peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) untuk bidang perakaunan.
Beliau berkata, disebabkan kekangan itu, ramai graduan mengubah hala atau mendapat tawaran pekerjaan lain yang difikirkan lebih baik apatah lagi jika ditawarkan pendapatan lebih tinggi.
Katanya, ia sekaligus mewujudkan kelompongan dalam bidang profesional jika situasi itu dibiarkan terus berlaku tanpa ada tindakan penyelesaian khususnya dari pihak kerajaan demi memastikan negara tidak ketinggalan dalam aspek berkenaan.
“Jika kerajaan serius mahu ‘menjaga’ jumlah profesional ini dan memastikan mereka masuk dalam bidang itu, cadangan pemberian insentif tertentu kepada graduan berkenaan supaya mereka tidak terhenti pada peringkat pengajian sahaja.
“Insentif ini amat perlu untuk kegunaan pembayaran yuran peperiksaan profesional dan sebagainya kerana difahamkan kosnya agak tinggi dan tidak ramai graduan mampu membayarnya kerana perlu mengeluarkan duit poket sendiri.
“Apatah lagi mereka belum mempunyai pendapatan sendiri, kalau minat tu lain lah. Tetapi kalau minat dia sekadar 50-50 sahaja, mereka mungkin memilih pekerjaan lain yang telah mencetuskan minat baharu kepadanya,” katanya di sini baru-baru ini.
Mohamed Mustafa yang juga Naib Canselor Universiti City berkata, soal gaji yang tidak sepadan dengan tahap profesional juga antara faktor mereka tidak berminat bekerja dalam bidang itu yang difikirkan tidak setimpal dengan kepakaran mereka.
Katanya, jika kerajaan benar-benar serius mengatasi jurang ketara profesional tempatan itu termasuk dalam kalangan bumiputera, maka satu langkah tambahan perlu dibuat umpamanya memberikan galakan lebih awal sebelum mereka menamatkan pengajian.
Menurut beliau, keadaan pasaran yang menentukan kedudukan profesional itu juga turut mempengaruhi kecenderungan graduan untuk meneruskan bidang itu yang dilihat kurang baik pada masa depan mereka.
“Di pihak kerajaan atau industri boleh memberikan insentif atau subsidi tertentu untuk pembayaran yuran peperiksaan profesional.
“Berhubung soal gaji, ia berkait soal pasaran. Kerajaan juga susah untuk menentukannya. Kadar upah banyak bergantung kepada penawaran dan permintaan dalam pasaran apatah lagi di sektor swasta,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, peranan badan-badan profesional juga boleh mengambil tanggungjawab sama kerana difahamkan terdapat badan-badan profesional tertentu mengawal bilangan orang yang memasuki bidang itu.
Katanya, penglibatan antara kerajaan dan industri termasuk badan profesional boleh membantu dalam usaha untuk ‘membetulkan’ kelompongan profesional tempatan tersebut.
Beliau menjelaskan, jika tidak ada tindakan serius, bermakna jurang itu akan terus berlaku dan lebih besar sekaligus hasrat melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970 tidak mungkin tercapai sampai bila-bila.
“Saya melihat jika kerajaan nak perkara ini dibetulkan, kena ada usaha campur tangan, ada inisiatif untuk mengambil langkah tertentu untuk membetulkan perkara ini dengan berbincang bersama badan profesional.
“Di peringkat universiti pula boleh ditingkatkan usaha untuk memperkukuhkan minat pelajar bumiputera khususnya untuk masuk bidang profesional dan kekal terus berada dalam bidang ini,” katanya. -UTUSAN










