Jadi YB? Terima kasih sahaja - Hattan - Utusan Malaysia

Jadi YB? Terima kasih sahaja – Hattan

HATTAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi bersuara emas, Datuk Hattan menolak sekiranya ada pihak yang menawarkan dia peluang untuk bertanding dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Jelasnya, dia lantang bersuara di media sosial membangkitkan isu-isu rakyat atas dasar ikhlas hati dan mahu menolong rakan-rakan serta masyarakat yang kini berdepan impak besar akibat pandemik.

“Tak nak lah jadi ahli politik atau Yang Berhormat (YB). Saya ikhlas bersuara untuk mereka. Selagi ada kudrat, saya akan gunakan medium (media sosial) dengan sebaiknya untuk bantu mereka.

“Saya ada peminat dan sedikit sebanyak, apa yang saya kongsi dan suarakan itu juga sebagai mewakili mereka. Malah ahli keluarga saya pun ada yang terkesan. Saya sendiri pun terkesan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Hattan sebelum ini tular lantaran perkongsian video di Instagram yang meminta agar kerajaan mengkaji semula pemberian moratorium secara automatik kepada golongan marhaen, terutama segelintir rakyat kini hidup dalam kesempitan.

“Tolonglah beri mereka moratorium secara automatik sebab tak terdaya nak meneruskan hidup. Ada yang tidak bekerja, ada yang kerja gaji setengah bulan. Semua dah nak terlingkup dah.

“Peniaga kecil buka sampai pukul 8 malam. Biarlah mereka berniaga sampai pukul 10 malam. Kerajaan tolonglah kami. Kalau pasar raya besar pun boleh ‘meraung’, bagaimana nasib peniaga kecil?” katanya.

Dalam pada itu, Hattan berkata, dia akur dengan langkah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 namun satu tindakan proaktif dan berkesan harus digerak bagi membantu mereka yang terkesan.

“Sudah dua tahun, duit kalau dalam bank ada RM50,000 pun mungkin sudah habis. Bukan semua orang termasuk artis boleh bertahan dalam keadaan terdesak ini. Ada perniagaan pun terkesan, itu belum kira kos hidup semua,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×