Emosi pesakit Covid-19 tertekan, dilayan seperti pesakit HIV - Utusan Malaysia

Emosi pesakit Covid-19 tertekan, dilayan seperti pesakit HIV

AHLI keluarga Kamarul Zaman Kader Mydin dibawa ke pusat kuarantin di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang selepas mereka disahkan positif virus Covid-19, Disember lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: “Tolong jangan layan pesakit Covid-19 seperti kami macam pembawa HIV.”

Itu rayuan seorang bekas pesakit Covid-19, Kamarul Zaman Kader Mydin, 39, terhadap masyarakat yang masih tidak memahami perasaan serta emosi pesakit yang dijangkiti wabak berbahaya itu.

KAMARUL ZAMAN KADER MYDIN

Kamarul Zaman yang merupakan kakitangan di sebuah hospital swasta di Seberang Prai berkata, dia dan sembilan lagi ahli keluarga termasuk ibu bapa, isteri, adik, anak serta anak saudaranya dijangkiti Covid-19 secara berperingkat bermula Disember lepas dan disahkan sembuh pada Januari lalu.

Bagaimanapun katanya, dari segi psikologi dia dan ahli keluarga mengambil masa tiga hingga enam bulan untuk pulih ekoran stigma masyarakat yang memandang serong terhadap pesakit Covid-19.

“Ketika keluarga kami dijangkiti virus ini, ada pihak yang menyebarkan gambar kami sehingga tular dalam media sosial.

“Kami tertekan dari segi emosi apabila pelbagai fitnah timbul, jadi saya berharap masyarakat jangan melayan pesakit Covid-19 seperti orang yang terkena HIV kerana wabak ini ada di dalam komuniti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurutnya ekoran sikap masyarakat yang masih gagal memahami virus berkenaan, ramai pesakit Covid-19 terpaksa menghadapi tekanan berat dari segi emosi selepas dibenarkan keluar dari pusat kuarantin.

“Sebagai contoh, ibu saya tinggal di sebuah flat di Tanjong Tokong selama lebih 30 tahun. Apabila dia dibenarkan pulang dari pusat kuarantin, masyarakat seolah-olah mahu menjauhkan diri, bila dia masuk di dalam lif, orang yang ada di dalam lif tiba-tiba keluar.

“Ibu saya tertekan dengan keadaan sebegitu, sehingga saya memujuk dia tinggal di rumah saya untuk tempoh sebulan sehingga situasi reda,” katanya.

Tambahnya, kerjasama ma­sya­rakat amat diperlukan bagi menyokong emosi dan pemulihan pesakit-pesakit Co­vid-19.

“Masyarakat belum faham sepenuhnya virus Covid-19 ini, penerangan secara visual perlu diteruskan bagi mendidik mereka untuk bersama memben­dung wabak ini,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×