PETALING JAYA: Macam-macam taktik penagih dadah bagi mengelak mereka daripada dihidu polis. Terkini penagih didakwa ligat menghasilkan `brownies ganja’ dalam pelbagai bentuk.
‘Brownies ganja’ resipi terbaharu itu dikatakan mempunyai kesan khayal lebih lama berbanding menikmati ganja cara tradisional.
Pengambil `brownies ganja’ juga didakwa sukar dikesan melalui ujian air kencing selain resipi tersebut tidak menghasilkan bau.
Difahamkan, `brownies ganja’ adalah adunan antara tepung, ganja serta beberapa bahan lain bagi menghasilkan tindak balas khayal yang lebih berkesan selain sukar dihidu pihak berkuasa.
Mingguan Malaysia difahamkan, ‘brownies ganja’ dijual sehingga RM200 bagi setiap 50 sehingga 100 gram bergantung berat ganja yang dimasukkan dalam adunan.
Sumber mendedahkan, setiap `brownies ganja’ yang dimakan akan bercampur dalam darah sehingga mampu bertahan dua hari berbanding menghisapnya secara biasa.
“Jika dimasak ikut sukatan dan campuran yang betul, dalam masa kira-kira sejam selepas makan individu itu sudah rasa ‘berbuih’ atau khayal sehinggalah seharian,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dalam pada itu, menurut sumber, setiap 25 gram ganja akan dicampur dengan sekilogram tepung bagi menghasilkan `brownies ganja’ berkualiti.
“Kuat atau tidak kesan `brownies ganja’ ini bergantung juga kepada kepekatan ganja dan tepung. Tempoh masak tidak lebih sejam supaya tidak terlebih masak.Biasanya penagih akan beli barang-barang kemudian upah tukang masak yang sememangnya mahir dalam kemahiran membuat kek,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Hussain ketika dihubungi memberitahu, pihaknya setakat ini belum mempunyai rekod tangkapan berkaitan pengambilan dan penjualan `brownies ganja’
Bagaimanapun, menurut beliau, pihaknya pernah membuat tangkapan melibatkan individu yang menjual biskut ‘raya’ mengandungi ganja pada Jun tahun lalu.
“Kami akan memantau aktiviti penghasilan atau penjualan dadah termasuk ganja dalam pelbagai bentuk hasil resipi,” ujarnya.
Razarudin berkata, sejak awal Januari sehingga 31 Mei lalu, pihaknya telah merampas 1,743 kilogram ganja dianggarkan bernilai RM 4.3 juta di seluruh negara serta sebanyak 37 pokok ganja turut dirampas. – UTUSAN ONLINE










