100 individu penerima awal vaksin pandu lalu di Perak - Utusan Malaysia

100 individu penerima awal vaksin pandu lalu di Perak

SAARANI Mohamad ketika melawat PPV pandu lalu di Stadium Indera Mulia, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seramai 100 individu menjadi penerima terawal suntikan vaksin Covid-19 menerusi perkhidmatan secara pandu lalu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

PPV secara pandu lalu itu merupakan perkhidmatan pertama di negeri ini di mana Kinta merupakan daerah pertama melaksanakan perkhidmatan itu.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, ketika ini, perkhidmatan pandu lalu dihadkan kepada penerima vaksin dos kedua sahaja kerana melibatkan proses yang lebih ringkas.

Katanya, jumlah penerima bagi perkhidmatan itu dijangka meningkat mengikut perkhidmatan kemahiran pasukan yang mengendalikan urusan itu.

“Idea suntikan secara pandu lalu ini bagi meringankan cabaran warga emas yang perlu beratur dalam keadaan berkerusi roda, bertongkat dan memerlukan perhatian sepanjang proses penerimaan vaksin.

“Melalui pertambahan perkhidmatan ini, dijangka meningkatkan jumlah penerima vaksin di PPV ini dengan bilangan 2,500 penerima sehari,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat PPV secara pandu lalu di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ding Lay Ming.

Menurut Saarani, pihaknya akan melihat keperluan menyediakan perkhidmatan sama di daerah atau lokasi lain bagi mempercepatkan jumlah penerima vaksin di negeri ini.

Katanya, aspek dari segi lokasi merupakan faktor utama yang perlu dipertimbangkan bagi mengelakkan kesesakan ekoran penerima perlu melalui beberapa ‘check-point’.

“Berdasarkan reaksi orang ramai, mereka gembira kerana mempunyai pilihan sama ada melalui pandu lalu atau ambil suntikan di stadium.

“Menurut mereka, langkah ini lebih mudah, selesa dan cepat di mana mereka tidak perlu meletakkan kereta dan berjalan ke PPV untuk mengambil suntikan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN