Polis terlibat dadah - Utusan Malaysia

Polis terlibat dadah

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) mendedahkan seramai 1,077 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlibat salah guna dadah sejak 2019 hingga Mac lalu.

Jumlah itu terdiri daripada 24 pegawai kanan dan 1,033 anggota yang didapati terlibat pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Antara kesalahan dikenal pasti adalah terjebak dengan penyalahgunaan dadah, membekal, memiliki dan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, pada 2019, seramai 546 anggota dan 20 pegawai ditahan yang melibatkan tiga di bawah LLPK, positif urin (424), memiliki dadah (99) dan 40 lagi dipercayai mengedar.

Katanya, bagi tahun lalu, seramai 408 warga PDRM yang terdiri daripada 389 anggota dan 19 pegawai ditahan.

Katanya, positif urin merupakan jumlah kesalahan tertinggi melibatkan 259 anggota dan 13 pegawai diikuti memiliki bahan terlarang itu iaitu 94 orang manakala membekal dadah adalah seramai 28 orang.

“Untuk tahun ini, 103 pegawai dan anggota dikenal pasti terlibat jenayah dadah. Namun kesalahan yang dilakukan me­nunjukkan penurunan.

“Bagaimanapun, tangkapan LLPK meningkat daripada tiga pegawai dan anggota kepada 14 individu. Kita sememangnya komited membersihkan warga PDRM daripada menjadi tali barut sindiket dadah,” katanya di sini semalam.

Razarudin berkata, pihaknya turut mengesan beberapa ‘pengkhianat’ dalam jabatannya yang sanggup melakukan kerja kotor dengan membuka rampasan dadah serta menukarnya bagi menyelamatkan individu tertentu terlepas daripada hukuman.

Kata beliau, ini terbukti de­ngan tangkapan di bawah LLPK di beberapa buah negeri melibatkan pegawai penyiasat.

“Saya tidak nafikan ada pegawai menukar dadah untuk jadi tak dadah. Mereka tukar ketika dalam perjalanan selepas rampasan, ada yang untuk dijual malah kononnya selamatkan individu tertentu agar terlepas daripada hukuman.

“Kita ada jumpa dua ke tiga kes dan siasatan rapi dijalankan. Kita akan pastikan mereka tidak terlepas dan dituduh di mahkamah,” katanya.

Razarudin memberitahu, beliau komited membanteras ke­giatan salah laku dalam kala­ngan pegawai jabatannya.

“Menerusi jawatakuasa ra­suah, kita akan meneliti setiap tangkapan atau rampasan dijalankan Jabatan Narkotik daripada peringkat Bukit Aman hingga ke daerah.

“Kita akan lihat berapa peratus yang positif daripada jumlah diperiksa. Contohnya kalau kita menjalankan pemeriksaan terhadap 1,000 dan hanya 20 individu yang ‘sangkut’, kita akan teliti semula,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×