PKP3.0: Dengar rintihan rakyat, bantu apa yang mereka perlukan - Utusan Malaysia

PKP3.0: Dengar rintihan rakyat, bantu apa yang mereka perlukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sudah tiba masanya kerajaan mengetepikan agenda kapitalis dan mula mendengar rintihan rakyat berkaitan bantuan yang diharapkan untuk menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diperketatkan.

Bercakap dengan Mingguan Malaysia, pakar ekonomi, Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, kerajaan patut membantu golongan yang terjejas berikutan PKP yang dilaksana sejak Mac tahun lalu namun bantuan tersebut haruslah berasaskan permintaan rakyat.

“Bantuan apa yang diperlukan rakyat? Tunai, makanan, moratarium, subsidi upah, penempatan dan apa sahaja, bukannya harus ditentukan oleh pihak kerajaan semata, namun harus mengambil kira apa yang ditagih dan diperlukan oleh rakyat.

“Kalau kita boleh mengadakan pungutan suara berkala mengenai populariti perdana menteri atau partai yang digemari, kenapa tidak diadakan pungutan suara atau kaji selidik mengenai bantuan yang diingini dan didambakan rakyat, khasnya golongan yang terkesan dan rakyat marhaen,” jelasnya ketika dihubungi semalam.

Tambah Baharom, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilihat bersikap pro-banker kerana terus memikirkan ke arah keadaan ekonomi tanpa mengambil kira kebajikan rakyat.

“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga harus berani dan tegas dalam menangani masalah pengurusan ekonomi dan kewangan rakyat, dengan melantik Menteri Kewangan yang baharu atau Menteri Kewangan Kedua, khas untuk pengurusan perbendaharaan negara di kala krisis ini.

“Tengku Zafrul mungkin merupakan seorang ahli korporat atau banker yang tersohor, atau bijak menguruskan industri atau institusi perbankan, namun latar belakang beliau yang tidak memahami rintihan rakyat, khasnya B40, yang agak terkesan agak tertonjol,” katanya.

Bagi penganalisis ekonomi, Prof. Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali pula, PKP3.0 adalah kitaran yang sama daripada PKP1.0 yang mana rakyat akan terus memerlukan bantuan moratorium.

“Sememangnya PKP kali ini akan menjejaskan ekonomi namun kerajaan harus serius untuk membendung kes penularan wabak ini dan sekali gus memastikan PKP seperti total lockdown tidak berulang.

“Sudah tentu bentuk-bentuk bantuan yang diharapkan adalah sama seperti yang telah dilakukan sejak PKP1.0. Janganlah terlalu risau kerana bank tidak akan rugi dengan pemberian moratorium. Mereka hanya akan berdepan masalah aliran tunai,” katanya.

Dalam perutusan perdana menteri baru-baru ini, kerajaan telah bersetuju mengetatkan lagi pelaksanaan PKP3.0 yang sedang berkuatkuasa dengan penambahan sekatan yang lebih ketat ke atas sektor ekonomi dan sosial.

Hal itu berikutan kes penularan wabak Covid-19 yang melonjak naik sehingga mencatatkan lebih 6,000 kes semenjak 19 Mei yang lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×