‘Guru-guru kita cukup hebat’ – Radzi Jidin - Utusan Malaysia

‘Guru-guru kita cukup hebat’ – Radzi Jidin

RADZI JIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan dalam mengekang Covid-19 memberi cabaran besar kepada sektor pendidikan sama ada kementerian itu, guru mahupun murid-murid terhadap pendidikan digital.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, proses pendigitalan pendidikan memerlukan penelitian mendalam.

Beliau berkata, sama ada suka atau tidak, semua pihak tidak boleh lari daripada turut bersama dalam pembangunan dunia iaitu dalam konteks pendidikan digital.

“Sebelum berlakunya PKP tahun lepas, kita sudah bercakap tentang pendidikan digital. Tetapi waktu itu pendidikan digital di peringkat sekolah seperti ada komputer dan internet di sekolah. Kita tidak bercakap pendidikan digital sebagai pembelajaran secara maya di rumah. Ramai murid tidak mempunyai peranti, tiada akses internet dan ia adalah satu proses yang mengambil masa yang lama untuk kita selesaikan.

“Namun guru-guru kita ini cukup hebat. Apabila mula dilaksanakan PKP pada tahun lepas, ramai yang belum terdedah dengan pendidikan digital, tetapi ramai yang belajar. Alhamdulillah, kita boleh lihat guru-guru sudah mula mempelajari kaedah pendidikan digital di samping latihan yang diberikan kementerian, guru-guru juga mengambil inisiatif sendiri supaya mereka tidak ketinggalan,” katanya dalam rancangan Bual Bicara Khas Hari Guru bersama Menteri Kanan Pendidikan.

Program tersebut disiarkan menerusi FB Live dan Saluran DidikTV Kementerian Pendidikan bersempena Hari Guru Ke-50 bertemakan ‘Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu’.

Radzi berkata, bersesuaian dengan tema Hari Guru tahun ini, hikmah PKP menunjukkan guru-guru juga berguru demi mendapatkan ilmu bagi menyampaikan kaedah-kaedah pendidikan digital terbaik buat murid-muridnya.

“Kementerian juga belajar banyak sepanjang tempoh ini. Kita perlu ambil kira keadaan semasa. Tutup dan buka sekolah adalah satu proses yang kita buat dengan penuh penelitian. Namun, dalam keadaan tertentu perlu diambil segera dan ada keadaan yang boleh dikaji terlebih dahulu.

Tambah beliau, kebanyakan murid-murid boleh mengikuti pembelajaran secara dalam talian tetapi mereka lebih memilih untuk bersemuka kerana cara itu lebih menyeronokkan.

“Sukar bagi murid-murid tidak berinteraksi secara bersemuka dan sebab itu apabila sekolah dibuka semula, kehadiran murid adalah amat baik iaitu lebih 95 peratus berbanding waktu sebelum pandemik, kehadiran hanya 80-85 peratus sahaja dan sebab itu kita lihat murid-murid teruja hendak ke sekolah dan hendak berjumpa guru.

“Kita juga terima banyak maklum balas daripada guru-guru. Ramai merasakan keberkesanan jika berdepan dengan murid-murid lebih berkesan. Kita harap Covid-19 dapat meninggalkan kita semua dan berharap anak-anak dapat kembali semula secara normal ke sekolah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN