‘Covid-19 tidak kenal gelap atau terang’ – Mufti Kelantan
Oleh TOREK SULONG/pix/zz (met)
[email protected]
KOTA BHARU: Tindakan segelintir penduduk sanggup solat berjemaah di surau dalam gelap dan menyorokkan selipar bagi mengelak dihidu pihak berkuasa tidak sepatutnya berlaku jika mereka umat Islam yang taat pada pemerintah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, virus Covid-19 bukan ‘sandiwara’ sebaliknya benar-benar wujud malah beliau sendiri pernah merasainya apabila dijangkiti virus tersebut.
Beliau dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini selepas disahkan positif Covid-19 pada 17 Mac tahun lalu dan dirawat selama 10 hari di unit rawatan rapi (ICU) hospital tersebut.
Menurutnya, dalam keadaan negara diserang wabak, tiga prinsip yang perlu difahami umat Islam ialah keperluan mentaati pemerintah, mengelak daripada memudaratkan diri atau orang lain dan tidak menyembunyikan perkara bahaya dengan alasan untuk amal ibadat atau kebaikan.
“Betul, hendak dapatkan pahala berjemaah namun mudaratnya terbukti membawa musibah. Covid-19 tidak mengenal dalam gelap atau terang. Pendekatan diambil kerajaan adalah tepat kerana Islam tidak pernah merumitkan umatnya.
“Apabila bertembung situasi melaksanakan kebaikan tetapi dikhuatiri akan mencetuskan keburukan, kita boleh memilih untuk melaksanakan pendekatan yang lebih selamat dan tidak memudaratkan,” katanya.
Mohamad Shukri dalam pada itu meluahkan rasa kesal terhadap segelintir pihak yang masih tidak percaya virus Covid-19 benar-benar wujud dan hanya sandiwara kerajaan semata-mata, sedangkan semakin ramai menjadi mangsa di seluruh dunia.
“Jangan anggap ini sebagai sandiwara sehingga prosedur operasi standard (SOP) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan diperlekehkan. Juga tolong jangan sesekali mengatakan semua ini sebagai aturan dajal.
“Kita memahami keinginan berjemaah dan mengimarahkan kembali masjid dan surau namun dalam situasi darurat penyakit semua pendekatan yang dilaksanakan kerajaan perlu dipatuhi. Tidak perlu sampai bersolat dalam gelap,” katanya.
Bercerita lanjut pengalaman menjadi pesakit Covid-19, Mohamad Shukri berkata, beliau dipercayai dijangkit virus tersebut ketika berkunjung ke Sarawak atas urusan kerja, beberapa hari sebelum itu.
Dikategorikan sebagai pesakit tidak bergejala, beliau pada mulanya sekadar sengal sendi tanpa demam, batuk dan sesak nafas seperti pesakit lain, namun disahkan mendapat jangkitan kuman pada paru-paru sehingga dimasukkan ke ICU.
“Saya tidak henti-henti berdoa kepada Allah supaya mengampunkan segala dosa dan kelemahan yang ada dalam melaksanakan tugas diberikan. Saya hanya ingat tentang kematian kerana kebanyakan pesakit warga emas seperti saya berakhir dengan meninggal dunia.
“Alhamdulillah saya sembuh seperti sediakala, saya amat berterima kasih kepada petugas kesihatan yang bertungkus-lumus siang dan malam merawat semua pesakit Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE










