PETALING JAYA: Kerajaan perlu membuatkan satu ketetapan terhadap Gaji Minimum Kebangsaan dan bukannya mengasingkan gaji minimum kakitangan awam dan swasta.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, pihaknya menyokong cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkaitan gaji minimum, tetapi sebaiknya cadangan itu tidak diasingkan hanya kepada sektor tertentu sahaja.
Katanya, kerajaan harus meletakkan Gaji Minimum Kebangsaan kepada satu tahap yang mampu menentukan daya dan kuasa beli kepada pekerja seiring dengan keadaan ekonomi negara sekarang.
“Saya lebih suka perkara itu dijadikan cerita kebangsaan daripada kita bercerita gaji minimum kakitangan awam dan kakitangan swasta.
“Kita harus ingat bagaimana daya membayar oleh pihak syarikat dikira dalam konteks sebagai satu tanggungjawabnya dalam membangunkan ekonomi negara.
“Akan tetapi, kebanyakan syarikat besar sekarang lebih mementingkan keuntungan daripada memulangkan keuntungan itu kepada pekerja yang berjasa kepada mereka dan ini menyebabkan timbul (isu) gaji minimum,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Semalam, Cuepacs mencadangkan upah minimum penjawat awam perlu sekurang-kurangnya melangkaui atau melepasi garisan tahap pendapatan garis kemiskinan negara iaitu RM2,208.
Hal ini berikutan daripada gesaan Cuepacs dalam menuntut kerajaan mengkaji semula Sistem Saraan Malaysia (SSM).
Abdul Halim berkata, isu gaji minimum juga timbul kerana kebanyakan kakitangan awam bergaji kecil disebabkan ia masih dibahagikan pecahan kepada beberapa pakej elaun.
Katanya, pihak kerajaan dan Cuepacs harus membincangkan semula pakej gaji kakitangan awam dalam satu bentuk sahaja dan bukannya dipecahkan melalui pakej elaun.
“Kebanyakan pakej elaun dari zaman dahulu lagi dan kerana itu gaji mereka bukan (gaji) bersih, tetapi bergantung kepada pakej elaun rumah dan yang lain,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan harus mengkaji wajibnya kenaikan tahunan kepada pekerja sama ada awam atau swasta melalui satu akta yang jelas.
Bagaimanapun katanya, kenaikan itu tidak menjadi satu tindakan dalam undang-undang negara, tetapi hanya lebih kepada peraturan dalam syarikat sahaja.
“Kalau kita tidak letakkan kenaikan tahunan sebagai penyokong gaji minimum, maka gaji minimum itu tidak dapat berfungsi dengan baik kerana tidak mengikut perkembangan ekonomi setiap tahun,” katanya. -UTUSAN










