Saya masih hormat Muhyiddin - Marzuki Yahya - Utusan Malaysia

Saya masih hormat Muhyiddin – Marzuki Yahya

Marzuki Yahya
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih dianggap sebagai ‘abang’ dan orang dewasa yang perlu dihormati.

Bagaimanapun status tersebut tidak menghalalkan segala tindakan yang dilakukan sejak pemimpin itu menubuhkan Perikatan Nasional (PN) bersama UMNO dan Pas tanpa mendapat mandat rakyat melalui Langkah Sheraton pada Februari tahun lalu.

Timbalan Presiden Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Marzuki Yahya berkata, sehingga hari ini, beliau tidak boleh menerima budaya politik dibawa Muhyiddin yang kini sanggup bekerjasama dengan parti yang dilawan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Batas hormat saya dengan beliau kerana bersama-sama berjuang dalam membina Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam keadaan apa pun, sama ada suka dan duka.

“Namun, satu hal sukar untuk saya terima adalah beliau sanggup bersekongkol dengan orang yang dahulu pernah menentang kita.

“Saya tidak boleh terima cara beliau berpolitik dengan mencuri mandat rakyat dan juga kerajaan Pakatan Harapan,” katanya kepada Utusan Malaysia dalam satu temu bual eksklusif di pejabatnya di Yayasan Sedar di sini semalam.

Beliau berkata demikian menyorot pemecatannya sebagai Setiausaha Agung Bersatu dan jawatan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Pulau Pinang masing-masing pada 18 Mac 2020 dan 2 Jun tahun sama tanpa menjelaskan sebab pemecatan tersebut.

Sebelum itu, Dr. Mahathir bersama empat yang lain iaitu Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Dr. Maszlee Malik serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah digugurkan keahlian Bersatu atas alasan duduk di bangku pembangkang ketika persidangan pembukaan Dewan Rakyat pada 18 Mei tahun lalu.

Muhyiddin mengetuai sekumpulan ahli Parlimen Bersatu, bersama anggota Parlimen yang meninggalkan PKR membentuk kerajaan Persekutuan bersama UMNO, Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa yang lain.

Hubungan antara Marzuki dan Muhyiddin sudah tidak mesra selepas kedua-duanya berbeza haluan dan Marzuki memilih untuk bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menerajui Pejuang.

Menurutnya, kali terakhir bersemuka dengan Muhyiddin semasa hari pertama beliau bertugas sebagai Perdana Menteri dan selepas itu, tiada lagi pertemuan mahu pun komunikasi

Marzuki berkata, sebagai Setiausaha Agung ketika itu, beliau harus berpegang dan mempertahankan keputusan parti yang menamakan Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri.

“Tetapi akhirnya, Muhyiddin mengkhianat keputusan parti dan rakyat Malaysia dengan menawarkan diri sebagai Perdana Menteri tanpa dibawa berbincang atau putuskan kembali dalam jawatan kuasa tertinggi parti.

“Saya tidak mahu mengikuti cara itu kerana boleh merosakkan pentadbiran parti. Soal kerjasama dengan pembangkang (ketika itu UMNO dan Pas), kita tidak pernah buat keputusan untuk bekerjasama dengan mereka. Kita cuma cakap soal penyatuan dan maruah orang Melayu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN