GLC,PBT digesa perbanyak penggunaan tulisan Jawi - Utusan Malaysia

GLC,PBT digesa perbanyak penggunaan tulisan Jawi

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat-syarikat korporat terutamanya syarikat milik kerajaan (GLC), agensi-agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta kerajaan negeri diseru untuk memperbanyakkan penggunaan tulisan jawi.

Penggunaan tulisan berkenaan termasuklah dalam segmen-segmen seperti papan tanda, acara festival dan sebagainya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin antara lain berkata, agensi kerajaan seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Kerajaan-kerajaan Negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu bersama-sama mempromosikan aspek budaya dan warisan melalui tulisan jawi.

“Tentunya sebagai sebuah negara bangsa, kita tidak mahu kehilangan identiti. Dalam hal ini, semangat, roh serta perkembangan tulisan jawi ini mesti sentiasa dihidupkan,” katanya semasa ucapan Majlis Perasmian Buku Budi Asas Tamadun dan Pameran Jawi Jiwa Bangsa, Seni Tonggak Budaya di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), di sini hari ini.

Pameran Jawi Jiwa Bangsa, Seni Tonggak Budaya yang diadakan serentak dengan pelancaran Buku Budi Asas Tamadun merupakan anjuran bersama Yayasan Budi dan Yayasan Al-Bukhary.

Ia merupakan cetusan idea oleh Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim bersama 13 penulis sahabat beliau.

Ia dijayakan dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya seperti Jabatan Kebudayaan Kesenian Negara, Jabatan Warisan Negara, Arkib Negara, Muzium Negara, Muzium Kesenian Islam, Balai Seni Negara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, Persatuan Seni Kebangsaan serta Persatuan Seni Persembahan Neotrik, Budaya dan Warisan.

Mengulas berkenaan pameran itu, Muhyiddin berkata, ia merupakan suatu langkah yang tepat dan perlu diperluaskan ke seluruh negara.

Menurutnya, ia bertepatan dengan Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan yang mentakrifkan Melayu hendaklah beragama Islam, bertutur secara lazim dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu.

Kata Muhyiddin, beliau yakin apabila dan usaha-usaha promosi lain digembeling di kawasan-kawasan negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, potensi untuk memupuk skrip jawi ke tahap dan penerimaan semula masyarakat amat diyakini sifat positifnya.

“Jawi adalah sebahagian daripada identiti negara yang bukan sahaja perlu dipertahankan, tetapi diperkasakan kembali sebagai pemangkin kepada perpaduan melalui seni dan warisan.

“Usaha panganjur pada hari ini merupakan langkah mulia dalam memperjuangkan hak-hak asasi budaya dan warisan Melayu sebagai jati diri dan warisan nasional,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya