Daftar warga asing sedia ada di Malaysia sebagai pekerja sah dalam sektor 3D - Peka - Utusan Malaysia

Daftar warga asing sedia ada di Malaysia sebagai pekerja sah dalam sektor 3D – Peka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan disaran mendaftar warga asing sedia ada di negara ini sebagai pekerja yang sah untuk bekerja dalam sektor-sektor tertentu terutama membabitkan bidang 3D iaitu kotor, bahaya dan sukar.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka), Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, dengan cara itu, kerajaan tidak perlu mengambil pekerja asing baharu dari negara mereka.

“Dalam keadaan negara dan seluruh dunia sedang berdepan pandemik Covid-19 ketika ini, langkah mendaftarkan warga asing sedia ada sebagai pekerja yang sah adalah cara yang terbaik.

“Dengan cara ini, kita dapat menampung keperluan pekerja asing terutama dalam sektor 3D sekali gus mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan yang berkata bahawa kerajaan akan mengkaji pengambilan semula pekerja asing bagi sektor-sektor tertentu di negara ini, yang sukar mendapat pekerja dalam kalangan rakyat Malaysia.

Saravanan berkata, ia berikutan terdapat permintaan majikan daripada sektor perladangan, pertanian, pembuatan dan pembangunan, yang mempunyai bidang kerja yang tidak diminati oleh rakyat tempatan.

Menteri Sumber Manusia tersebut menjelaskan, terdapat hampir 400,000 peluang pekerjaan dalam empat sektor berkenaan dan kementerian terbabit sedang berbincang dengan semua pihak berkenaan sebelum mengambil sebarang keputusan.

Zuhairi berkata, Peka menyokong penuh kenyataan Saravanan kerana memang terbukti rakyat di negara ini agak kurang berminat bekerja dalam sektor 3D.

“Selama ini pun sektor itu (3D) memang didominasi oleh pekerja asing dan untuk melihat kelangsungan negara yang sedang membangun ini, kita perlukan mereka (pekerja asing) untuk melaksanakan kerja.

“Tetapi bagi sektor-sektor lain, keutamaan harus diberikan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau menjelaskan, Peka sekian lama bersuara membabitkan soal pekerja asing yang seharusnya turut diberikan layanan baik sesama manusia kerana mereka juga ingin mencari rezeki dan mempunyai keluarga untuk ditanggung. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.