Astrazeneca selamat, perokok lebih risiko alami darah beku - Utusan Malaysia

Astrazeneca selamat, perokok lebih risiko alami darah beku

Dr. Woweham Sindeh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perokok tegar dan wanita yang mengambil pil perancang keluarga lebih berisiko mengalami darah beku dan berdepan kematian berbanding kejadian darah beku yang membabitkan penerima vaksin Astrazeneca.

Justeru kes kematian akibat suntikan vaksin Astrazeneca setakat ini boleh disifatkan sebagai kes terpencil.

Pengamal perubatan keluarga, Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM), Dr. Woweham Sindeh berkata, orang ramai tidak perlu bimbang menerima vaksin Astrazeneca kerana hanya 0.0004 peratus atau satu daripada sejuta penerima berisiko mengalami darah beku setakat ini.

Menurut beliau, ia jauh berbeza dengan 1,200 kes daripada sejuta wanita yang mengambil pil perancang dan 1,763 daripada sejuta perokok berisiko alami darah beku.

“Semua pihak perlu menilai keselamatan vaksin ini dengan melihat kepada peratusan faktor risiko dan bukannya semata-mata berfokus kepada kes darah beku seperti yang berlaku di beberapa negara luar.

“Kita juga tidak boleh membuat kesimpulan setiap kali ada yang mati disebabkan suntikan AstraZeneca, maka vaksin itu dikatakan sebagai berbahaya. Kena rujuk berapa kerap kes itu berlaku,” kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 268,600 dos vaksin AstraZeneca akan diberikan secara terbuka kepada orang ramai dan sukarela atas terma ‘siapa cepat dia dapat’.

Kenyataan itu sekali gus menimbulkan persepsi dalam kalangan orang ramai bahawa AstraZeneca kurang efektif dan tiada nilai.

Senada dengan Woweham, pegawai perubatan, Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, semua jenis vaksin Covid-19 termasuklah AstraZeneca akan memberi kesan sampingan namun orang ramai tidak perlu bimbang kerana ia telah dijamin selamat.

Menurut beliau, apa yang perlu sekarang kerajaan menggunakan penyampaian lebih jelas berhubung pemberian vaksin AstraZaneca bagi mengelakkan kekeliruan terhadap orang ramai sehingga menggagalkan matlamat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menurut beliau, pengambilan vaksin AstraZeneca yang didakwa berbahaya dan berisiko menyebabkan gumpalan darah adalah tanggapan salah kerana tidak mungkin Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) meluluskan vaksin tersebut jika benar mengancam keselamatan dan nyawa orang awam.

“Vaksin tidak berbahaya kerana kesan sampingan yang wujud hanya membabitkan peratusan kecil. Cuma, cara maklumat disampaikan itu mungkin kurang jelas sehingga orang berfikir vaksin tidak selamat.

“Sudah berjuta orang di seluruh dunia seperti Eropah dan Amerika Syarikat mengambil vaksin dan mereka kelihatan baik sahaja. Sudah tentu ada sedikit kesan akibat penyesuaian vaksin dalam tubuh seseorang, tetapi ia bukan sesuatu yang perlu dirisaukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN