Ahmad Zahid diminta letak jawatan jika berpakat dengan Anwar - Utusan Malaysia

Ahmad Zahid diminta letak jawatan jika berpakat dengan Anwar

ZAHIDI Zainul Abidin (tengah) hadir pada Majlis Perasmian Pertandingan Pidato Kenegaraan dan Malaysia Prihatin peringkat negeri ini di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau, Perlis hari ini.- UTUSAN/ MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU : Kebanyakan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO cukup kecewa dan merasa seolah-olah dipermainkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang di belakang mereka cuba menjalinkan kerjasama dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, jika audio perbualan antara Ahmad Zahid dan Anwar itu benar, presiden secara tidak langsung telah mempergunakan MT di dalam mesyuarat dan Perhimpunan Agung UMNO untuk menipu ahli, perwakilan serta Ketua-Ketua UMNO Bahagian semata-mata hanya untuk mencapai matlamat tertentu.

Sehubungan itu, seorang MT UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin meminta Ahmad Zahid meletak jawatan jika beliau mahu berpakat dengan Anwar.

Kata Ketua UMNO Bahagian Padang Besar itu, Ahmad Zahid dan Anwar juga diminta jujur dan berterus terang kepada rakyat jika benar ada pakatan di antara kedua-kedua pemimpin tersebut.

Selain itu, katanya, Ahmad Zahid juga perlu segera membuat laporan polis bagi memberi ruang pihak berkuasa menyiasat ketulenan audio tersebut bukan terus berdiam diri.

“Kita harap laporan polis dibuat bagi mengesahkan sama ada audio itu tulen atau tidak. Bagi UMNO, kalau Ahmad Zahid berpakat dengan Anwar, kita minta dia (Ahmad Zahid) letak jawatan.

“Anwar sebagai pemimpin PKR juga perlu berterus terang dan tidak perlu takut kata PKR hendak berpakat dengan UMNO. Kalau sembunyi, mana integriti mereka, berpura-pura kepada rakyat.

“Bagi saya, sebagai seorang MT berasa kecewalah, seolah-olah MT ini dipermain-permainkan. Depan cakap ‘No Anwar, No DAP’ tetapi di belakang, berhubung dengan Anwar, malah mengiktiraf pula sebagai cikgu dan anak murid,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pertandingan Pidato Kenegaraan dan Malaysia Prihatin peringkat negeri ini di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin di sini hari ini.

Dalam rakaman kira-kira empat minit itu, suara mirip Anwar didengar memuji individu yang memiliki suara seakan Ahmad Zahid kerana berjaya mengendalikan Perhimpunan Agung UMNO.

Selain itu, suara yang didakwa Ahmad Zahid itu berkata, apa yang diucapkan ketika Perhimpunan Agung UMNO hanya bersifat taktikal.

Mengulas lanjut, Zahidi yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, setakat ini, Ahmad Zahid masih belum memberi sebarang penjelasan kepada MT berhubung audio perbualan tersebut.

“Kalau boleh, Ahmad Zahid beri juga penjelasan kepada pihak media,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya