Stadium Sultan Ibrahim menang undian 'Stadium Of The Year 2020' - Utusan Malaysia

Stadium Sultan Ibrahim menang undian ‘Stadium Of The Year 2020’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mencatat sejarah baharu apabila Stadium Sultan Ibrahim dinobatkan pemenang ‘Stadium Of The Year 2020’ untuk kategori undian awam.

Perkara itu diumumkan dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi JDT.

Stadium serba canggih milik skuad Harimau Selatan itu memperoleh 64,240 mata, membolehkannya mengatasi beberapa stadium ikonik lain seluruh dunia.

Antara stadium yang ditewaskan dalam undian awam itu termasuk Stadium Allegiant di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) dan Stadium Ahmad bin Ali di Qatar.

Undian yang dibuat menerusi laman web StadiumDB.com yang berpangkalan di Poland itu adalah kali ke-11 dilakukan, membabitkan penyertaan stadium yang baharu dibuka di seluruh dunia sepanjang tahun lalu.

Undian awam di laman web itu ditutup pada 7 Mac lalu yang menyaksikan pengundian dibuat membabitkan lebih daripada 100 negara termasuk Malaysia, AS, Turki, Jepun, Romania dan Georgia.

Stadium Sultan Ibrahim yang terletak di Iskandar Puteri dekat sini dibuka secara rasmi pada 22 Februari lalu sebagai gelanggang rasmi baharu JDT menggantikan Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Stadium yang dibina dengan kos RM200 juta itu mempunyai kapasiti seramai 40,000 penonton dan merupakan sebahagian daripada perancangan Bandar Sukan JDT yang akan turut menempatkan hotel, pangsapuri, pusat membeli-belah, padang ragbi, gelanggang tenis dan beberapa fasiliti sukan moden lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya