IPT perlu bekerjasama dengan kerajaan pulihkan sektor pendidikan - Utusan Malaysia

IPT perlu bekerjasama dengan kerajaan pulihkan sektor pendidikan

NORAINI (tengah kanan) dan Dr. Mohd.Shukri (tengah kiri) menyampaikan cenderahati ketika hadir ke Majlis 'MSU International Fashion Collection 2021' di Dewan Censalor MSU Seksyen 13 Shah Alam, Selangor hari ini. UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Institusi pengajian tinggi (IPT) diseru untuk bersama kerajaan bagi memulihkan sektor pendidikan tinggi di negara yang terjejas akibat berlakunya pandemik Covid-19.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, penutupan semua IPT pada Mac sehingga Julai tahun lalu mengakibatkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran 1.2 juta orang pelajar, termasuk 130,000 pelajar antarabangsa terjejas.

“Pihak universiti, kolej awam dan swasta terpaksa mengubah kaedah pengajaran dan pembelajaran secara tiba-tiba kepada mod Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Kita terpaksa melakukan perubahan ini atas desakan pandemik tersebut lantas perlu menggunakan segala teknologi sedia ada untuk memastikan sistem pengajaran dan pembelajaran tidak terhenti,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis MSU International Fashion Collection 2021 di Management & Science University (MSU) di sini, hari ini.

Menurut Noraini, kerajaan sentiasa mengalu-alukan idea kreatif daripada semua pusat pengajian bagi memastikan sistem pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan pada zaman pandemik ini.

Pada Mac tahun lalu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melarang semua aktiviti termasuk akademik dilakukan secara bersemuka sehingga 31 Disember tahun lalu.

Namun, pada Januari lalu, kementerian telah membenarkan pusat pengajian dibuka kepada pelajar secara berperingkat sejak 1 Mac lalu dengan mereka mengikuti pengajaran dan pembelajaran secara fizikal dan dalam talian.

Sementara itu, Presiden MSU, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid berkata, pihaknya telah mengambil pelbagai langkah bagi memastikan semua pelajar dan tenaga pengajarnya mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.

Jelasnya, MSU juga melakukan pelbagai program membantu masyarakat yang tinggal berhampiran dengannya dan petugas barisan hadapan bagi membendung penularan virus Covid-19.

“Antara program yang dilaksanakan seperti menyumbang 6,000 pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) kepada beberapa hospital di sekitar Lembah Klang.

“Kita juga telah mengagihkan 100 liter cecair pembasmi kuman kepada pelajar sekolah dan kilang yang berdekatan MSU,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya