PETALING JAYA: Terdapat pemimpin UMNO yang sedang membuat gerakan dalaman bagi mengubah keputusan Majlis Tertinggi (MT) yang menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Seorang ahli MT yang tidak mahu mendedahkan namanya berkata, pimpinan itu sedang bergerak ke seluruh negara berjumpa dengan pimpinan bahagian empat peringkat termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.
Difahamkan, mereka terdiri daripada dua atau tiga pemimpin termasuk yang berada dalam Kabinet kerajaan Pakatan Nasional (PN).
“Dalam perjumpaan tersebut, mereka cuba meyakinkan ahli bahawa UMNO perlu kekal mendukung kerajaan PN bahkan menjadi anggota PN secara sah. Alasannya adalah PN mempunyai kuasa dan sumber kewangan yang besar, sedangkan UMNO sedang berhadapan dengan dana politik yang kritikal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengesahkan perkara itu, seorang ketua bahagian yang turut hadir dalam perjumpaan tertutup itu mendedahkan, pemimpin tersebut juga berkata, UMNO akan menang banyak kerusi jika bergabung dengan Bersatu
Dalam pada itu, Ketua Bahagian tersebut turut mendedahkan, seorang daripada pemimpin berkenaan yang berada dalam syarikat milik kerajaan (GLC) mungkin membawa usul ke Perhimpunan Agung UMNO pada 28 Mac ini supaya UMNO mengkaji semula keputusan kerjasama dengan Bersatu.
Mengulas lanjut, pimpinan MT itu turut berkata, gerakan itu diteruskan kelmarin yang mana mereka mengadakan perjumpaan dengan ketua ketua sayap bahagian di sebuah negeri.
“Salah seorang Ketua Pemuda yang hadir mendedahkan pemimpin terbabit menuduh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengadakan perbincangan sulit dengan DAP untuk bekerjasama.
“Ketua Pemuda itu juga mengakui selepas pertemuan tersebut, semua yang hadir menerima duit kocek RM300 seorang termasuk beberapa kemudahan lain,” ujarnya lagi. – UTUSAN ONLINE










