PUTRAJAYA: Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub diminta menamakan secara terbuka pihak yang didakwa membuat tawaran rasuah kepadanya berhubung isu kartel daging.
Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, tindakan itu perlu dilakukan jika bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu benar-benar memandang serius isu rasuah tersebut yang dikatakan melibatkan sekurang-kurangnya empat daripada tujuh loji penyembelihan di India yang mengeksport daging beku ke Malaysia.
Katanya, Salahuddin juga diminta menjelaskan mengapa isu ini hanya didedahkan pada 9 Februari lalu setelah tidak lagi menjadi Menteri sedangkan beliau sendiri menyebut tawaran rasuah itu dibuat pada tahun 2018 lagi iaitu setelah beberapa bulan dilantik sebagai menteri.
“Tidakkah jika Salahuddin terus melaporkan tawaran rasuah kepadanya oleh kartel daging kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masalah monopoli loji penyembelihan di India yang mengeksport daging beku ke Malaysia oleh syarikat tersebut akan dapat diselesaikan dengan mudah dan tindakan sewajarnya boleh terus diambil terhadap syarikat,” katanya semalam.
Kamarul Zaman turut mempersoalkan mengapa baru sekarang Salahuddin menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sedangkan beliau menyedari masalah monopoli loji penyembelihan itu.
Katanya, beliau malah membayangkan sesuatu tidak kena berlaku apabila beliau tertanya-tanya siapa yang ‘menjaga’ pegawai-pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Kesihatan yang membuat lawatan ke loji penyembelihan di luar negara
Sebelum ini, Salahuddin mendakwa didatangi wakil syarikat kartel di pejabat yang menawarkan percutian kelas pertama di Eropah, namun menolak tawaran terbabit.
Bagaimanapun, baru-baru ini beliau memberitahu bersedia membuat laporan kepada SPRM berhubung pendedahannya itu kerana membabitkan isu serius. – UTUSAN










