Pekerja kontrak terlepas hukuman mati atas tuduhan membunuh - Utusan Malaysia

Pekerja kontrak terlepas hukuman mati atas tuduhan membunuh

MOHD. Faizul Md Saaid, 45, terselamat dari tali gantung selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini menukar dakwaan membunuh ke atasnya lima tahun kepada membunuh tanpa niat.-UTUSAN ONLINE MUHAMMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pekerja kontrak terselamat dari tali gantung selepas dakwaan membunuh ke atasnya lima tahun lalu ditukar kepada membunuh tanpa niat di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

Hakim Mohd. Radzi Abdul Hamid membuat keputusan itu ke atas Mohd. Faizul Md Saaid, 45, selepas wujud keraguan pada akhir pendakwaan selain pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh mempunyai niat membunuh seorang warganegara India, K. Lokeswaran.

Sehubungan itu, Mohd. Radzi memutuskan pertuduhan daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan diturunkan kepada Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan pindaan, Mohd. Faizul didakwa melakukan pembunuhan dan menyebabkan kematian Lokeswaran di hadapan Kuil Ujong Batu, Butterworth, dekat sini pukul 4.30 petang hingga 4.35 petang pada 25 September 2017.

Dia dituduh di bawah Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, Mohd. Faizul turut berdepan pertuduhan kedua iaitu menyebabkan kecederaan dengan menggunakan sebatang kayu ke atas R. Dharmedran, 31, di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Bagi pertuduhan pertama iaitu membunuh tanpa niat, Mohd. Radzi menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun ke atas tertuduh manakala hukuman penjara tiga tahun bagi kesalahan menyebabkan kecederaan.

Beliau turut memerintahkan kedua-dua hukuman penjara dijalankan serentak dengan tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 25 September 2017.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee manakala tertuduh diwakili peguam A. Chandra Segaran. – UTUSAN ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN