Kos bawa pulang jenazah Rabitah RM50,000  - Utusan Malaysia

Kos bawa pulang jenazah Rabitah RM50,000 

GAMBAR kenangan Rushaniena Izani (kanan) bersama ibunya, Rabitah Hamed yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Griffith, Australia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Keluarga wanita Malaysia, Rabitah Hamed, 49, yang maut dalam kemalangan di Griffith, Australia semalam sedang berusaha mengumpulkan dana berjumlah RM50,000 bagi membawa pulang jenazah untuk dikebumikan di kampung halamannya di Pekan Ayer Hitam, dekat sini.

Menurut anak sulung Rabitah, Rushaniena Izani, 26, setakat ini, dia dan keluarga hanya memiliki wang berjumlah RM10,000 dan masih berusaha untuk mencukupkan jumlah diperlukan.

“Kami dimaklumkan jenazah ibu tidak mempunyai masalah untuk dibawa pulang kerana dia meninggal akibat kemalangan dan bukannya penyakit. Namun, kosnya cukup tinggi iaitu kira-kira RM50,000.

“Sehingga kini kami masih berusaha mencari dana tersebut. Bagi pihak keluarga, kami amat mengharapkan ihsan daripada mana-mana pihak untuk membantu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Selain Rushaniena, Rabitah mempunyai dua lagi anak yang turut tinggal di tanah air berusia 14 dan 19 tahun.

Rushaniena menambah, ibunya yang berstatus ibu tunggal berhijrah ke Griffith sejak Februari tahun lalu dan merancang untuk tinggal di sana selama lima tahun sebelum kembali ke tanah air.

“Di sana, ibu dikatakan bekerja di sebuah kilang memproses ayam. Pada 21 Februari ini, genap setahun ini ke Griffith,” katanya.

Ditanya mengenai kemalangan yang berlaku, Rushaniena berkata, kereta dipandu ibunya dipercayai terbabas menyebabkan Rabitah tercampak keluar daripada kenderaan itu.

“Saya difahamkan bedah siasat telah dijalankan di Hospital Sydney, namun mereka masih memerlukan dalam tempoh dua atau tiga hari lagi bagi pemeriksaan lanjut.

“Kalau wang yang diperlukan cukup, kami mahu bawa jenazah ibu segera pulang untuk disemadikan. Seboleh-bolehnya kami mahu supaya segala urusan diselesaikan secepat mungkin,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya