Jangan biarkan tanah bendang hilang - Utusan Malaysia

Jangan biarkan tanah bendang hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengambilan tanah sawah bendang perlu diperketatkan bagi memastikan ia tidak menjejaskan pengeluaran padi dan beras negara.

Dekan Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Abdul Shukor Juraimi berkata, kehilangan 35,000 hektar kawasan padi di Kedah adalah disebabkan kelonggaran penguatkuasaan undang-undang.

Malah katanya, kekurangan insentif terhadap pesawah padi menyebabkan mereka sanggup menjual tanah bendang dan beralih ke industri lain.

“Sepatutnya kerajaan dan pihak kementerian merangka suatu akta atau undang-undang supaya tanah bendang tidak boleh dipindah milik dengan sewenang-wenangnya.

“Penanam padi pun memerlukan insentif yang lebih, jika pendapatan mereka berkurang disebabkan kerajaan bergantung kepada beras import, mereka mungkin tidak sanggup lagi untuk menguruskan bendang dan menjual sahaja tanah mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jika perkara ini berterusan, Abdul Shukor berkata, kerajaan mungkin perlu bergantung lebih banyak kepada beras import.

“Populasi negara semakin meningkat, takkanlah kerajaan nak bergantung kepada import sahaja. Tambah bilangan jelapang padi sahaja tidak cukup.

“Perlu ada strategi bagaimana untuk menaikkan lagi pengeluaran padi dan beras negara, jika tidak kerajaan akan mengalami kerugian besar dan mungkin tidak mempunyai bekalan makanan mencukupi kerana bergantung kepada import,” katanya.

Beliau mengulas laporan Utusan mengenai 35,000 hektar kawasan sawah padi di Kedah dikesan ‘hilang’ selepas ditukar kepada kegunaan lain seperti pembangunan infrastruktur, komersial dan perumahan dalam tempoh 10 tahun lalu.

Jumlah kawasan sawah yang tinggal sekarang dianggarkan seluas 270,000 hektar termasuk 100,685 di kawasan Lembaga Pembangunan Pertanian Muda (MADA) tetapi dari tahun ke tahun ia dikhuatiri terus berkurangan.

Berikutan kehilangan 35,000 hektar kawasan tanaman padi tersebut, pengeluaran padi Kedah juga dianggarkan mengalami penyusutan kira-kira 350,000 tan setahun yang bersamaan nilai RM420 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN