Hotel jual makanan tradisi NS di taman perumahan - Utusan Malaysia

Hotel jual makanan tradisi NS di taman perumahan

PENDUDUK sekitar tidak melepaskan peluang membeli makanan tradisi Negeri Sembilan yang dijual pihak Hotel Klana Beach Port Dickson di Taman Intan Perdana, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, Hotel Klana Beach Resort Port Dickson dekat sini mengambil langkah menjual menu masakan tradisi Negeri Sembilan di beberapa taman perumahan di daerah ini.

Penolong Pengurus Pemasarannya, Norazwan Nordin berkata, pihaknya menawarkan menu masakan dengan harga serendah RM5 yang merupakan inisiatif bagi menghadapi cabaran semasa PKP.

“Dalam suasana PKP yang terus menghantui industri perhotelan, kami menawarkan makanan tradisi Negeri Sembilan dengan membawa dari hotel terus ke komuniti dan menjualnya kepada pelanggan di beberapa lokasi perumahan terpilih. 

“Langkah ini secara tidak langsung dapat membantu kami mengharungi cabaran pandemik Covid-19 selain memastikan Hotel Klana Beach Resort Port Dickson dapat terus beroperasi kelak dan menjadi destinasi percutian keluarga,” katanya kepada pemberita di Taman Intan Perdana di sini hari ini. 

Menurutnya lagi, konsep turun padang yang dilakukan pihak hotel ini juga diharap dapat memberi peluang kepada komuniti setempat untuk merasai makanan hotel dengan harga jauh lebih rendah. 

“Kami menyediakan sajian tradisi Negeri Sembilan iaitu rendang betik, sambal pucuk ubi, masak lemak cili api ayam pencen, masak lemak cili api telur itik dan daging dendeng selain menawarkan set makanan tengahari serendah RM8. 

“Kami akan menukar lokasi jualan di taman perumahan setiap hari yang akan dimaklumkan di Facebook Klana Beach Resort Port Dickson. Kami menjual bermula 11 pagi hingga 2.30 petang setiap hari sehingga tamat PKP,” katanya. 

Dalam pada itu, menurut Norazwan, pihak hotel juga turut menawarkan makanan sihat (healthy set) dan set makanan tengahari serendah RM8 yang boleh dipesan untuk penghantaran. 

“Kami menjual makanan sihat seperti ikan salmon panggang dan set ikan bakar selain set makan tengah hari seperti nasi tomato, ayam kurma, daging masak merah, ayam rendang, masak lemak cili api telur itik serta ayam goreng berempah,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya