Calon SPM diberi makan secara percuma - Utusan Malaysia

Calon SPM diberi makan secara percuma

SEBAHAGIAN calon SPM beratur ke dewan peperiksaan di SMK Dato" Syed Ahmad, Kuala Nerang, Padang Terap hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seramai 29,936 pelajar di negeri ini mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad berkata, kesemua mereka mengambil peperiksaan di 263 pusat peperiksaan di negeri ini.

Katanya, beliau difahamkan segala urusan di pusat peperiksaan berjalan lancar termasuk pematuhan prosedur operasi standard dalam kalangan guru serta pelajar.

“Setakat pagi ini, tiada masalah yang timbul. Tinjauan saya mendapati segalanya dalam keadaan baik.

“Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dititikberatkan sepanjang SPM. Pihak sekolah dan guru akan melakukan semampu mungkin bagi memenuhi keperluan norma baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah di Mergong, dekat sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Rozaini Ahmad.

Sementara itu, seramai 1,094 pelajar yang menduduki SPM di 11 pusat peperiksaan di daerah Padang Terap dekat sini diberikan makanan tengah hari secara percuma sebagai sokongan moral dan semangat buat mereka menghadapi peperiksaan norma baharu ini pada hari ini.

Bagaimanapun, Pegawai Daerah Padang Terap, Datuk Shuhaime Abdul Rahman berkata, seramai 500 pelajar miskin yang telah dikenal pasti akan diberi peruntukan kewangan bagi keperluan makanan sepanjang peperiksaan itu.

“Kami juga memperuntukkan 1,000 pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan sarung tangan kepada pegawai peperiksaan seluruh sekolah di sini,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Syed Ahmad di sini hari ini.

Selain itu, tambahnya, sanitasi secara harian akan dilakukan setelah peperiksaan selesai bagi memastikan keselamatan calon.

“Saya telah berbincang dengan pihak bomba daerah Padang Terap untuk sentiasa melakukan sanitasi di pusat peperiksaan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya