Bomba berdepan kesukaran padam kebakaran hutan - Utusan Malaysia

Bomba berdepan kesukaran padam kebakaran hutan

ANGGOTA bomba memadam kebakaran hutan di Kampung Sindu, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai dekat Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Operasi memadam kebakaran hutan seluas 16 hektar di Kampung Sindu, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai di sini berdepan kesukaran ekoran keadaan bentuk muka bumi dan sumber air yang terhad.

Malah, keadaan cuaca panas dan kering dengan kawasan yang dikelilingi banyak pokok resam menyebabkan api merebak dengan cepat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Azmi Osman berkata, keadaan kawasan yang berbukit dan curam menyukarkan akses masuk jentera bomba ke lokasi bagi tujuan memadam kebakaran.

Katanya, anggota yang terlibat terpaksa mendaki untuk ke lokasi tersebut dengan membawa peralatan iaitu ‘fire beater’ dan ‘jet shooter’.

“Kerja-kerja pemadaman agak sukar dilakukan kerana keadaan muka bumi yang tinggi dan curam selain banyak pokok-pokok resam yang kering menyebabkan api mudah merebak.

“Sumber bekalan air juga amat kurang di kawasan tersebut di mana kita hanya menggunakan aliran air dari bukit yang kuantitinya amat terhad.

“Untuk operasi ini, kaedah pemadaman adalah menggunakan ‘fire beater’ dan semburan air menggunakan ‘jet shooter’,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Azmi, seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai terlibat dalam operasi memadam kebakaran kawasan tanah bukit itu sejak kelmarin.

Katanya, anggota yang terlibat adalah dari Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) yang bukan sahaja memiliki kekuatan fizikal, malah, mampu bertugas dalam apa juga operasi.

“Kawasan yang terbakar merupakan tanah bukit dan bomba berjaya memadamkan keseluruhan kebakaran itu hari ini sejak dilaporkan kelmarin.

“Rondaan dan pemantauan akan terus dilakukan di kawasan tersebut kerana bimbang kebakaran mungkin berulang.

“Operasi memadam kebakaran itu turut dibantu Jabatan Perhutanan Perak terutama dalam menilai situasi hutan berkenaan,” katanya.

Azmi berkata, punca kebakaran masih belum dikenal pasti namun tidak menolak kemungkinan oleh perbuatan individu yang menggunakan sumber nyalaan.

Katanya, dalam keadaan musim cuaca panas dan kemarau, orang ramai yang ada aktiviti mahupun berkebun di dalam hutan diingatkan tidak menggunakan sebarang sumber nyalaan.

“Pastikan sebarang sumber nyalaan tidak digunakan bagi mengelak tragedi kebakaran yang boleh menjurus kepada kebakaran yang lebih besar,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya