KUALA LUMPUR: “Tidak semua anggota tentera yang menamatkan perkhidmatan bernasib baik. Ada antara mereka hidup susah sehingga tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan tetap untuk menampung hidup”.
Itu antara yang diluahkan oleh bekas perajurit yang pernah menyertai misi pengaman di Mogadhisu, Somalia pada 1993 iaitu Kapten (B) Mazlan Fauzi, 52.
Cukup menyedihkan, namun jelas beliau ini adalah realiti yang terpaksa ditanggung bekas tentera yang pernah berkorban nyawa mempertahankan kedaulatan negara.
“Sebagai tentera kami memang tidak akan meminta-minta, itu bukan budaya dan cara kami. Namun mewakili rakan-rakan, mungkin ada yang boleh membuka mata tentang permasalahan yang berlaku dalam kalangan bekas tentera kini.
“Selain hidup susah ada juga antara rakan saya kini berhadapan dengan masalah kesihatan. Walaupun pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyediakan kemudahan perubatan di hospital namun masih ada kos yang membebankan termasuklah tambang perjalanan, penginapan dan sebagainya,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Tidak mencari salah atau menidakkan usaha kerajaan dan ATM yang banyak menyediakan bantuan untuk anggota tentera, namun jelasnya mungkin sudah sampai masanya permasalahan ini dilihat secara menyeluruh sekali gus membuka ruang agar wira yang pernah mengharumkan nama negara ini mendapat pembelaan sewajarnya.
Sebagai bekas tentera yang pernah bersama-sama menggembling tenaga di medan peperangan, beliau terpanggil untuk menyuarakan isu ini memandangkan ramai rakan seangkatannya yang dilihat terpinggir tanpa bantuan daripada kerajaan.
“Harus diingat tidak semua mereka mempunyai pencen. Malah ada yang terpaksa pulang ke kampung halaman dan melakukan pelbagai kerja untuk menyara keluarga. Masalah ini dapat dihidu kerana sebagai satu pasukan kami sentiasa berhubung antara satu sama lain.
“Tidak dinafikan ramai juga antara mereka berkecil hati apabila dipinggirkan seolah-olah mereka langsung tiada jasa untuk dikenang. Jadi sebaiknya, pihak berwajib dapat membuka mata untuk lebih peka dan prihatin terhadap kebajikan tentera yang pernah menabur bakti mengharum nama tanah air,” katanya. -UTUSAN ONLINE











