PKP 2.0: Peniaga di Rantau Panjang kian terhimpit

PKP 2.0: Peniaga di Rantau Panjang kian terhimpit

SUASANA Zon Bebas Cukai Rantau Panjang yang lengang selepas PKP dikuat kuasa di Kelantan. - FOTO/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di negeri ini bermula Sabtu lalu memberikan kesan mendalam kepada masyarakat termasuk para peniaga di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang.

Mereka yang terpaksa menutup operasi perniagaan masing-masing sepanjang PKP kini berdepan masalah kewangan teruk, lebih-lebih lagi baru sahaja ‘bercuti’ hampir seminggu tanpa hasil jualan selepas kawasan itu ditenggelami banjir pada 7 Januari lalu.

Terbaharu, mereka diuji lagi apabila terpaksa menjelaskan bayaran lesen tahunan kepada pihak Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Difahamkan, jika gagal berbuat demikian mereka bakal berdepan denda yang hanya akan menambahkan lagi sengsara kantung kewangan masing-masing.

Pengerusi Persatuan Perniagaan Melayu Rantau Panjang, Ramli Abdullah dengan rendah hati berkata, pihaknya merayu kepada MDPM supaya melanjutkan lagi tempoh bayaran lesen itu sekurang-kurangnya sehingga Mac depan.

“Kami mohon bayaran itu dilanjutkan bagi membolehkan para peniaga mencari dana untuk melunaskan bayaran tersebut.

“Melihat kepada pertambahan kes yang menunjukkan trend menaik ketika ini khususnya di Kelantan saya khuatir PKP akan dilanjutkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, jika PKP dilanjutkan zon bebas cukai itu akan ‘lumpuh’ terus kerana kawasan itu bergantung sepenuhnya kepada kedatangan pelancong dan pengunjung dari luar negeri ini.

Sementara itu, Yang Dipertua MDPM, Nik Mohamed Noor Nik Ishak ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.