Pelawak bukan punca utama bahasa rojak di radio - Utusan Malaysia

Pelawak bukan punca utama bahasa rojak di radio

DJ Lin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengurus Kanan Suria FM, DJ Lin tidak melihat kehadiran ramai pelawak dan selebriti popular dalam bidang penyampaian radio menjadi penyumbang utama kepada penggunaan bahasa rojak.

Jelasnya, menjadi tanggungjawab pihak pengurusan radio sendiri dalam membentuk karakter setiap penyampai yang dipilih memandangkan penyampai adalah duta kepada setiap stesen.

“Menjadi trend untuk penyampai radio kini dipilih dalam kalangan pelawak dan selebriti, tidak dinafikan ini juga usaha menaikkan rating stesen. Cumanya dalam konteks ini kita tidak boleh bebankan penyampai sahaja untuk menerima kesalahan.

“Pendapat peribadi saya, pihak pengurusan kena mainkan peranan dalam memastikan bahasa yang digunakan penyampai mereka mencapai standard yang sesuai buat stesen radio berbahasa Malaysia. Jadi perlu tegur dan sedarkan penyampai-penyampai ini mengenai tanggungjawab dalam mendidik pendengar di luar sana melalui penggunaan bahasa yang betul,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Penggunaan bahasa rojak dalam kalangan pemain industri penyiaran merisaukan segelintir pejuang bahass Melayu yang khuatir generasi muda akan lebih selesa dan lupa dengan keindahan bahasa kebangsaan itu.

Dalam pada itu, DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid turut melihat penggunaan bahasa rojak lebih kepada menepati permintaan pendengar yang mahukan sesuatu yang mudah.

Bagaimanapun kata penyampai radio popular ini, senario ini juga perlu diseimbangkan dalam memastikan bahasa kebangsaan terus terbela.

“Tidak dinafikan penggunaan laman sosial dalam kalangan pendengar kini juga menjadi penyumbang kepada penggunaan bahasa rojak atau pasar. Memang lebih senang sebenarnya untuk mendengar sesuatu yang mudah dan ringkas.

“Tetapi dalam masa sama penyampai radio yang masih bernaung di bawah stesen radio berbahasa Malaysia bertanggungjawab memartabatkan bahasa kebangsaan selain menjadi pengantara kepada pendengar untuk menyampaikan sesuatu melalui laras bahasa yang betul,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN